Mangsa banjir Long Busang terima sumbangan

KAPIT: Sebanyak 100 keluarga mangsa banjir dari Kampung Long Busang, Kapit menerima sumbangan wang tunai RM 1,500 setiap keluarga.

Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Ustaz Khalidi Ibrahim mewakili Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi menyampaikan sumbangan jumlah kseluruhan RM160,00 di Ruai Besar, Kampung Long Busang.

Semasa majlis penyampaian, Khalidi menyeru penduduk Kampung Long Busang terus memelihara keharmonian dan keamanan yang wujud di kampung tersebut dan berharap semoga bersabar atas musibah yang menimpa keluarga tersebut.

Beliau memberitahu sumbangan tersebut hasil kutipan yang dijalankan di masjid dan surau seluruh Sarawak bermula Jun lepas bertujuan untuk membantu membeli keperluan harian.

Sumbangan wang tunai turut diberikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Rahmah Long Busang bagi membantu pengurusan dan pengimarahan masjid di kampung tersebut, ujarnya.

Beliau juga menjelaskan kutipan ini juga hasil sumbangan agensi dan pertubuhan Islam Sarawak seperti Tabung Baitulmal Sarawak, Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak, Jabatan Mufti Negeri Sarawak, Harakah Islamiah, Pusat Penerangan Islam Sarawak, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia Sarawak dan Yayasan Ikhlas Malaysia.

Turut hadir Pengarah Jabatan Mufti Negeri Sarawak Ustaz Mual Suaud, Pengarah Jakim Cawangan Sarawak Ustaz Hamdan Jar’ee dan Ketua Kampung Long Busang Yusuf Zawawi .