Mangsa hilang balik sendiri ke rumah

LUNDU: Setelah lima hari hilang di hutan, seorang warga emas akhirnya balik sendiri ke rumah semalam.

Mengesahkan laporan, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Sarawak berkata mangsa, Joseph Basir, 68, dari Kampung Gerunggang, Lundu balik sendiri ke rumah sekitar jam 5.09 petang.

“Mangsa dilihat oleh anaknya dalam keadaan lemah berjalan balik ke rumah mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Joseph dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya pada Selasa lalu setelah bersama dua saudaranya untuk memancing ikan di Sungai Stunggang, Lundu.

Dia disedari hilang setelah kedua-dua saudaranya pulang ke rumah pada jam 4 petang tetapi mangsa tidak ikut bersama.

Usaha mencarinya kemudian dijalankan oleh ahli keluarga namun masih gagal dijumpai malah jejaknya juga tidak dapat dikesan.

Kehilangan mangsa kemudian dilaporkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat Lundu setelah dimaklumkan oleh Balai Polis Lundu.

Operasi mencari dan menyelamat turut dijalankan bersama bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung namun tetap gagal mengesan dan menjumpai mangsa walaupun radius pencarian diperluaskan sehingga 4.7 kilometer termasuk di lokasi mangsa kali terakhir dilihat dan di sepanjang tepi Sungai Stunggang Hulu.