Mangsa kebakaran dua buah rumah di Matu dibantu

MATU: Awal pagi tadi dearah Matu dikejutkan dengan kejadian kebakaran yang melibatkan dua buah rumah papan di Kampung Sekaan Kecil dan telah mengorbankan dua mangsa masing-masing berumur 84 tahun dan 58 tahun.

Prihatin dengan nasib yang menimpa keluarga mangsa, Adun Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya yang diwakili Aini Latip bersama wakil Pusat Khidmat Masyarakat Dun Jemoreng, PBB Jemoreng dan mewakili Wanita Jemoreng Ketua Wanita Rokiah Mohd Jahar telah menziarahi mangsa di Kampung Sekaan Kecil.

Menurut Adun Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya, bantuan awal telah dihulurkan dan bantuan selanjutnaya akan diproses oleh agensi kerajaan yang berkaitan.

“Pihak pejabat Daerah Matu akan membuat penilaian dan cadangan bagi membantu mangsa, manakala pihak Jabatan Kebajikan juga akan membantu dalam memberikan keperluan awal,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Keadaan rumah yang telah musnah sepenuhnya

Tambah beliau lagi keluarga mangsa telah dihulurkan bantuan keperluan barangan keperluan dapur dan bantuan lain bagi meringankan beban keluarga mangsa.

Hadir sama wakil Pegawai Daerah Abdul Malik, Penghulu Che Jeni Shahdan, Ketua Kaum Yusuf Mahros dan Ketua Kaum Kadir Mohamad.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 2 pagi itu, dua mangsa yang merupakan anak beranak tidak dapat menyelamatkan diri kerana terperangkap di dalam rumah sewaktu kebakaran.

Mayat mangsa seterusnya ditemui sekitar jam 4.20 pagi setelah kerja-kerja pemadaman berjaya dilakukan oleh pihak bomba dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan lanjut.

Bantuan awal telah dihulurkan kepada mangsa yang terlibat sebagai usaha untuk meringankan bebean mangsa

Suara Sarawak