Mangsa kebakaran rumah panjang terima bantuan

BINTULU: Mangsa tragedi kebakaran di Rumah Eloh Anak Jugah, Kampung Banyai, Sungai Segan di sini, menerima sumbangan daripada Menteri di Jabatan Ketua Menteri(Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip.

Sumbangan dalam bentuk bahan binaan Adun Jepak itu disalurkan menerusi Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jepak.

Sumbangan itu merupakan susulan janji Talib untuk membantu mendirikan rumah sementara kepada mangsa kebakaran rumah panjang terbabit semasa lawatan beliau pada 13 Jun lalu.

Dalam insiden jam 2 petang pada 12 Jun lalu, seramai 135 penghuni rumah panjang Eloh Jugah, Kampung Banyai, Sungai Segan, di sini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah panjang 24 pintu setingkat berstruktur tidak kekal  itu musnah terbakar.

Pada masa ini, mangsa mendirikan khemah sementara di kawasan lapang berdekatan rumah panjang mereka yang terbakar.