Mangsa kebakaran terima bantuan segera

BINTULU: Enam keluarga membabitkan 33 penghuni yang tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Baru Tengah, awal pagi Selasa mendapat perhatian segera pelbagai pihak termasuk Duta Khas Perdana Menteri Ke Republik Rakyat China yang juga Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing.

King Sing tiba di kampung itu pada jam 1.30 tengah hari bersama-sama Pegawai Daerah Bintulu Muhammad Dino Amit untuk melawat serta meninjau keadaan mangsa. S

ebelumnya, beliau menerusi Pegawai Khasnya di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Bintulu menyerahkan sumbangan peribadi berupa tunai dan keperluan asas iaitu makanan kepada mangsa.

Sambil melahirkan simpati dan takziah kepada semua mangsa atas kejadian yang tidak diduga itu, King Sing berharap bantuan keperluan asas khususnya dapat meringankan beban mangsa.

Selain King Sing, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) yang juga Adun Jepak Datuk Talib Zulpilip menerusi wakil Pusat Khidmat Masyarakat Dun Jepak Shamsuddin Abdul Razak turut menghulurkan sumbangan kilat kepada keluarga terlibat.

Tidak ketinggalan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Bintulu turut tampil menyerahkan bantuan kilat berupa pakej makanan dan keperluan dapur yang disampaikan pegawai jabatan berkenaan, Taddy Ajin. Taddy berkata, bantuan lain akan menyusul selepas laporan siasatan daripada pihak bomba lengkap.

Kejadian pada jam 4.30 pagi Selasa itu memusnahkan kediaman kayu dua tingkat milik Hajah Napisah Haji Mahani yang turut dihuni lima keluarga penyewa lain. Kebakaran itu turut memusnahkan enam unit motosikal milik penghuni kediaman tersebut. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.