Mangsa letupan CityOne tuntut pembelaan: Mana pampasan kami?

“Saya hanya bergantung dengan ayah untuk menampung perubatan, manakala ibu sedang menjalani rawatan dialisis.”

KUCHING: “Tiada siapa yang suka mengingati trauma dan saya cuma ingat, keadaan huru-hara, bising, ada orang meraung-raung… seolah-olah dalam zon perang dan akhirnya saya di ICU hospital,” kata Nur Hafirdawilla Mohd Sulaiman, 30.

Siapa Nur Hafirdawilla? Bagi yang mengingatinya mungkin dapat ingat dengan baik nama itu kerana dia antara 10 mangsa cedera teruk daripada 41 mangsa letupan gas pusat beli-belah CityOne Sarawak pada 4 Disember 2018.

Anak sulung daripada empat adik beradik itu berkata, ketika dia dibawa keluar pada hari kejadian, seluruh badan, muka tangan dan kaki melecur, selain darah mengalir di seluruh badannya.

“Rambut saya yang terbakar terpaksa digunting oleh pasukan paramedik. Bayangkan, seksa yang saya tanggung dan hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana keadaan kami masa itu,” katanya.

Lebih mengecewakan, Nur Hafirdawilla mendakwa selepas jadi mangsa letupan dia cuma menerima pati haruan dan kolagen sebanyak dua kali.

“Kami diberitahu mangsa tidak diberi pampasan. Tiada langsung pampasan?… ia amat mengecewakan kerana terpaksa menanggung perbelanjaan perubatan selain tidak lagi bekerja.

“Saya hanya bergantung dengan ayah untuk menampung perubatan, manakala ibu pula sedang menjalani rawatan dialisis,” katanya.

Dia kini mendapatkan nasihat undang-undang mengenai pampasan selepas enam bulan kejadian itu dan sedang menunggu pampasan untuk kecederaan serta trauma psikologi akibat letupan.

Lebih menyedihkan dia terpaksa melupakan rawatan susulan ekoran kekangan kewangan dan hanya menerima bantuan RM250 daripada Baitulmal.

“Saya bersama-sama sembilan yang lain juga cedera teruk, masing-masing mencari peguam berlainan bagi proses tindakan undang-undang untuk mendapatkan pampasan,” kataya.

Kejadian letupan gas pusat beli-belah CityOne telah mengorbankan tiga nyawa dan 41 cedera dalam kejadian pada jam 3.30 petang Selasa 4 Disember 2018.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengesahkan letupan itu berpunca daripada kebocoran gas petroleum cecair (LPG) jenis butane.

Suara Sarawak