KUCHING: Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mencadangkan supaya mangsa rogol dibenarkan menjalani pemeriksaan perubatan sebelum membuat keputusan, dalam tempoh 72 jam, sama ada membuat laporan polis atau tidak.
Beliau merujuk kepada laporan media pada 8 Julai mengenai individu yang didakwa tidak berpuas hati dengan perkhidmatan Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) di Sarawak dalam mengendali kes seorang wanita yang disyaki dirogol baru-baru ini.
Menjelas mengenai kes ini, Nancy berkata mangsa mungkin mengalami trauma dan mencari pemeriksaan perubatan tanpa bersedia untuk melaporkan kejadian itu kepada polis.
“Sesetengah mangsa mungkin berasa malu atau mempunyai keraguan yang pelbagai tentang melaporkan kepada pihak polis.
“Memandangkan laporan perlu dibuat dalam tempoh 72 jam, saya mencadangkan agar mangsa diberi pilihan untuk menjalani pemeriksaan perubatan terlebih dahulu, membolehkan mereka membuat keputusan kemudian sama ada untuk melaporkan kepada polis,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Speda Amal Borneo, di sini, hari ini.
Sehubungan itu jelas Nancy, beliau akan membincangkan perkara ini dengan Menteri Kesihatan untuk mendapatkan pendapat dan tindakan yang boleh diambil.
“Cadangan ini hanyalah saranan, dan keputusan akhir mengenai sebarang perubahan prosedur terletak pada Kementerian Kesihatan” katanya.
Buat masa ini, laporan polis perlu dibuat sebelum polis mengeluarkan perintah meminta doktor memeriksa dan mengumpul bukti dengan persetujuan orang tersebut bagi tujuan membantu siasatan.
Manakala, Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Ooi Choo Huck dalam kenyataannya memberitahu wanita berkenaan enggan membuat laporan polis dan tidak memberi kebenaran untuk penilaian selanjutnya dijalankan walaupun telah dinasihatkan oleh pegawai perubatan bertugas.
Bagaimanapun kata Dr Ooi, selepas berbincang dengan pakar perubatan kecemasan bertugas, wanita tersebut dihantar ke OSCC dan pemeriksaan meliputi pengambilan sejarah kejadian serta pemeriksaan tanda vital telah dijalankan.
Nancy berkata perkara itu merupakan salah faham antara mangsa dengan pihak hospital dan perkara itu telah diselesaikan, selain berharap kejadian sedemikian tidak berulang lagi.