Mangsa terselamat bunuh diri kongsi pengalaman

Seorang individu terselamat daripada cubaan membunuh diri berkongsi pengalaman dan fikirannya semasa hampir mengambil keputusan tersebut.

Dia turut berkongsi kisah dan faktor menyebabkan dirinya memilih untuk kembali kepada meneruskan kehidupan.

Menurut Priscilla, pertama kali cuba membunuh diri adalah beberapa hari sebelum peperiksaan SPM pada 2012. Pada ketika itu, dia berusia 17 tahun.

Dia menderita akibat kemurungan dan tertekan dalam pelajarannya, iaitu mahu mendapat keputusan cemerlang tetapi gagal.

“Saya cuba menyelesaikan masalah dengan ubat penghilang rasa sakit kerana saya berasa sangat tertekan,” katanya kepada penulis.

Dia berkata selepas percubaan itu, dia cuba menelefon salah seorang sahabat terdekatnya. Rakannya itu bertindak menelefon ibunya dan segera membawanya ke hospital.

Semenjak itu, Priscilla berada di bawah pemerhatian ketat dan menjalani sesi psikoterapi di Hospital Umum Sarawak.

Pada 2011, Priscilla sekali lagi mengalami tekanan, kerana walaupun menghadiri tuisyen tetapi tetap gagal dalam peperiksaan.

Kemudian apabila memasuki Tingkatan Lima, dia mula berfikir untuk membunuh diri dan merancang cara untuk menamatkan hidupnya.

Semasa percubaan pertama, ibu bapa memberi sokongan kepadanya selepas mengetahui keadaan dirinya tidak normal dengan menghantarnya untuk mendapatkan bantuan daripada pakar psikiatri swasta.

“Pada masa itu, saya tidak dapat menerima hakikat bahawa saya menderita penyakit mental. Ia adalah masa sukar,” katanya.

Dia menunjukkan tanda penarikan sosial, tidak mahu menghadiri sekolah dan mempunyai insomnia.

“Saya biasanya mempunyai perasaan ingin membunuh diri pada waktu malam, tengahan malam, apabila berfikir terlalu banyak dan menyalahkan diri kerana tidak cukup baik,“ katanya.

Sejak cubaan pertama, dia cuba membunuh diri lima hingga enam kali dan kerap mencederakan diri.

Percubaan terakhir membunuh diri adalah pada 2016, dengan mengambil ubat antidepresan berlebihan.

“Pada ketika itu, saya masih boleh merasakan kaki, tetapi saya tidak dapat berjalan, saya mahu muntah tetapi saya tidak boleh.

“Saya berasa sangat tidak selesa dan menjerit, dan ibu saya adalah orang menjumpai dan menyelamatkan saya,” katanya.

“Saya masih bergelut tetapi saya dapat mengatasinya lebih baik sekarang. Bunuh diri tidak lagi saya fikirkan,” ceritanya.

Priscilla berkata dia mengatasi fikirannya dengan menyibukkan diri, melakukan perkara disukai, menghabiskan masa dengan kawan rapat dan menghadiri aktiviti gereja.

“Walaupun ayah saya meninggal dunia pada 2015, saya gembira ibu memahami saya, dan kawan-kawan saya sentiasa ada untuk menyokong saya dari segi emosi,” katanya.

Dia mengingatkan semua orang, terutama orang tua, rakan rapat dan guru supaya lebih peka dan bertindak pantas menghantar individu mempunyai perasaan ingin membunuh diri mendapatkan bantuan segera.

Kini, Priscilla berpegang pada satu matlamat penting iaitu ingin membawa harapan kepada rakyat, untuk mewujudkan kesedaran dan mengingatkan mereka bahawa membunuh diri bukanlah cara menyelesaikan masalah.

“Saya mahu sesiapa sahaja mempunyai perasaan atau fikiran untuk membunuh diri tahu bahawa ia tidak menyelesaikan apa-apa.

“Dapatkan bantuan yang anda perlukan. Ada orang masih peduli terhadap tentang diri anda. Anda tidak bersendirian, jangan berputus asa!” nasihatnya.

Saya ingin berkongsi dengan anda petikan motivasi oleh John Lennon.

Ingatlah, “Semuanya akan baik-baik saja pada akhirnya, jika tidak baik, itu bukan akhir,” katanya.

Dia juga berkongsi makna di sebalik tatu di tangan kanannya dibuat pada 2017.

“Tatu jantung berdenyut (EGG) berfungsi sebagai peringatan bahawa diri saya terselamat dan kehidupan itu sangat berharga.

“Saya masih mahu menjalani hidup saya sepenuhnya,“ jelasnya.

Kemurungan boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, tidak kira usia.

Ia adalah penyakit mengganggu keupayaan anda untuk mengendalikan aktiviti harian seperti tidur, menguruskan kerja rumah atau tugasan dan mempengaruhi minat seseorang dalam aktiviti yang mereka nikmati.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kemurungan adalah penyakit biasa di seluruh dunia, dengan lebih daripada 300 juta orang terjejas.

Lebih ramai wanita terkena depresi daripada lelaki.

Ia boleh membawa kepada keadaan kesihatan serius membawa kepada bunuh diri.