KUCHING: GPS akan mengumumkan manifesto pada minggu hadapan, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Menurut pengerusinya, pengumuman itu akan dibuat dua hari selepas hari penamaan calon (6 Disember 2021) Pilihan Raya Negeri Ke-12.
“Manifesto GPS akan diumumkan pada 8 Disember ini.
Dalam tempoh empat tahun lalu, kita telah meneruskan apa-apa yang dijanjikan Tok Nan (Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem) di bawah pasukan Adenan.
“Kami akan umumkan manifesto GPS untuk pilihan raya kali ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Calon GPS, di sini, semalam.
Abang Johari juga berkata, pilihan raya kali ini akan menjadi yang pertama bagi pasukan GPS sejak parti komponennya meninggalkan Barisan Nasional (BN).
Pada PRN lalu, parti komponen GPS di bawah panji BN menjanjikan 15 perkara di bawah manifestonya.
Sebanyak 15 perkara itu antara lain, menegakkan hak Sarawak dan rakyatnya, meningkatkan kebajikan golongan kurang berkemampuan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.