
KOTA PADAWAN: Manifesto yang dikeluarkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sememangnya realistik untuk dilaksanakan, kata Datuk Dr Stephen Rundi Utom.
Beliau merangkap Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, janji tersebut pasti dapat dilakukan GPS.
“Melihat kepada manifesto yang dibuat pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) lalu, terbukti bahawa ia dapat dijalankan dengan baik.
“Jadi, untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) juga pasti dapat dilaksanakan kerana fokusnya lebih kurang sama.
“Kita tidak boleh janjikan bulan dan bintang sekadar untuk mendapat sokongan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Karnival Jalinan Tani Institut Pertanian Sarawak, di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, manifesto oleh GPS bertumpu kepada rakyat dan pembangunan Sarawak, jadi apa yang dijanjikan perlu ditepati.
“Pelbagai projek pembangunan telah dilakukan GPS sepanjang tempoh ini. Oleh itu, komitmen untuk memperkasakan, menguatkan dan membangunkan Sarawak sentiasa diteruskan agar tidak terhakis.