Mantan Ahli Parlimen Puncak Borneo meninggal dunia

KUCHING: Mantan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Seri James Dawos Mamit meninggal dunia pada jam 1.30 pagi tadi di kediamannya di Taman Stutong Indah di sini.

Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada usia 70 tahun akibat kanser hidung sejak beberapa tahun lalu.

Perkara ini disahkan oleh anak buah Dawos menerusi aplikasi Whatapps yang disebar luas dalam kalangan komuniti Bidayuh.

Malah, beberapa “page” politik dalam laman sosial Facebook termasuk Keadilan Sarawak turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

Mendiang memulakan karier politiknya apabila bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) sebagai calon langsung pada Pilihan raya Umum 1999 di kawasan Mambong.

Mendiang kemudiannya menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan kekal sebagai Ahli Parlimen Mambong yang kini dikenali sebagai Puncak Borneo.

Mendiang pernah menjadi Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pada tahun 2015 hingga 2018.

Sebelum itu, mendiang merupakan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dari tahun 2013 hingga 2015.

Mendiang juga pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dari tahun 2009 hingga 2013.

Ahli Parlimen selama empat penggal ini mengundur diri beberapa bulan sebelum PRU14 akibat masalah kesihatan.

Suara Sarawak