PROGRAM Nekik Kinabalu 2023 anjuran Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) memberi peluang kepada saya mencabar diri.
Siapa yang tidak tahu Gunung Kinabalu merupakan antara gunung tertinggi di Asia Tenggara.
Semasa mendapat tawaran menyertai ekspedisi itu, saya menawarkan diri menyahut cabaran tersebut.
Walaupun belum mengetahui kemampuan diri, namun saya tetap memberanikan diri.
Tiga bulan sebelum ekspedisi bermula, saya melakukan latihan dengan bersenam dan menjaga pemakanan.
Namun, satu bulan terakhir, Kuching dibanjiri program.
Sebagai pengamal media juga kami antara agensi yang sangat sibuk menyiapkan penyertaan Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) sehingga tidak mempunyai masa untuk melakukan latihan.
Pada 10 September, penerbangan dari Kuching ke Kota Kinabalu mengambil masa satu jam 30 minit, sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabah, saya bersama-sama 15 pendaki lain bertolak ke Taman Negara Kinabalu di Kundasang dengan menaiki tiga buah van.
Pendakian kami bermula pada 11 September dari Pintu Timpohon — kaki gunung Kinabalu dengan suhu pada ketika itu mencecah 16 darjah Celcius.
Perjalanan dari titik mula (Timpohon) ke Panalaban atau Laban Rata hanya 6 kilometer, kedengaran mudah, tapi jarak enam kilomter dengan ketinggian 3,000 meter dari paras laut, bukan perkara biasa.
Cuaca dingin, keadaan permukaan jalan tidak rata serta curam terpaksa ditempuhi sebagai cabaran dan dugaan.
Sampai sahaja di kilometer tiga, hujan lebat, perjalanan agak mencabar dengan trek yang licin dan agak curam.
Alhamdulillah, selepas tujuh jam berjalan, kami tiba di Panalaban sekitar 4 petang selepas memulakan pendakian seawal 8.30 pagi.
Dengan suhu mencecah 10 darjah Celcius, hidangan kopi O panas saya hirup tanpa perlu meniupnya terlebih dahulu, perasaan teruja tidak dapat terbayangkan.
TERPAKSA TIDAK MANDI
Dalam hati saya mengatakan; “merasa juga berada di negara sejuk”.
Selepas menukar pakaian, kami dihidangkan makan malam pada 5 petang dan dinasihatkan tidur awal untuk bersedia mendaki ke puncak seawal 2 pagi.
Saya cuba tidur seawal 6.30 petang, namun tidak dapat tidur dengan selesa, mungkin kerana tidak mandi.
Air terlampau sejuk dan keadaan tempat tinggal yang tidak menyediakan air panas memaksa kami untuk tidak mandi.
Pada 1 pagi, saya bangun dan bersiap untuk sarapan sebelum memulakan pendakian pada 3 pagi, jaraknya hanya 2.5 km ke puncak.
Cuaca pada mulanya tenang, dengan langit dipenuhi bintang bertukar hujan lebat pada 5.50 pagi.
Saya tiba di puncak, namun diarahkan balik sebaik sahaja tiba kerana keadaan cuaca dan trek yang sangat curam.
Kalau anda rasa naik itu susah, turun lagi susah, Kalau rasa takut lebih baik kamu berhenti dan balik.
Fikirkan keselamatan terlebih dahulu, itu perkara utama.
Saya masih ingat, itulah pesanan salah seorang daripada tiga malim gunung kepada kami sebelum memulakan pendakian ke puncak.
Kata mereka, tidak boleh berada terlalu lama di puncak jika cuaca sejuk, bimbang badan kita tidak biasa menerima cuaca sedemikian (-6 darjah Celsius).
Kami pulang dan berkemas untuk turun mendaki ke Timpohon pada 10 pagi, saya sangka jika naik susah, turun pasti senang, namun sangkaan saya meleset.
Sekurang-kurangnya satu jam setiap kilometer. Saya sehingga mengalami patah semangat dan menangis tidak mahu meneruskan perjalanan turun.
Bukan kerana letih, tetapi keadaan kaki yang seakan-akan tidak dapat meneruskan perjalanan, setiap langkah menyakitkan.
Namun, apalah pilihan yang saya ada, selain meneruskan perjalanan balik, saya sampai pada 5.30 petang.
Pesanan saya kepada anda yang ingin mendaki Gunung Kinabalu, berlatihlah dengan menaiki tangga.
Gunung tertinggi di Malaysia ini merupakan gunung ketiga tertinggi di Asia Tenggara — di belakang Gunung Hkakabo Razi di Myanmar dan Puncak Jaya di Indonesia.
Ternyata pendakian ini memberi kesan positif mental, fizikal dan rohani.