Mantapkan pasukan penguat kuasa

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri menggesa semua JPBB Telang Usan, Marudi, Beluru dan Subis memperkuatkan pasukan penguat kuasa bagi memerangi pandemik Covid-19 di kawasan masing-masing.

Pengerusi JPBB Miri, Datuk Lee Kim Shin berkata, ia termasuk melarang perjalanan keluar dan masuk dari zon merah seperti Miri dan Bintulu kecuali untuk kes kecemasan.

“Komuniti setempat diingatkan agar tidak melakukan perjalanan yang tidak perlu ke Miri atau Bintulu kecuali jika kecemasan dengan kebenaran permit yang dikeluarkan oleh polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kim Shin yang juga Adun Senadin memaklumkan perkara demikian kepada semua ahli parlimen dan Adun berkenaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Saya sudah berbincang dengan semua wakil rakyat untuk bersama-sama membantu mengingatkan komuniti agar terus mematuhi SOP serta tidak melakukan rentas daerah jika tiada keperluan dan mendaftar untuk mendapatkan vaksin,” jelasnya.

Kim Shin yang juga Menteri Pengangkutan mengulas mengenai peningkatan kes Covid-19 membabitkan Miri sementara Marudi dan Telang Usan bertukar status kepada zon kuning.

Tambahnya, Marudi merekodkan sembilan kes, sementara Telang Usan satu kes, Beluru pula bertukar status kepada jingga dengan 28 kes dalam masa 14 hari.

Daerah Subis pula bertambah baik dari zon merah kepada status jingga dan terkini berstatus kuning. “Saya berharap komuniti di Miri tidak melakukan perjalanan rentas daerah ke Bintulu dan empat daerah lain kecuali mendapat kebenaran polis,” katanya.

Pada masa sama, JPBB Miri ingin sekali lagi mengingatkan masyarakat setempat agar tidak mengadakan sebarang perhimpunan sosial dalam kalangan keluarga dan di tempat kerja.

“Empat kluster yang dikesan baru-baru ini membabitkan Kluster Sena, Kluster Jalan Merpati, Kluster Jalan Gridbid dan Kluster Kingsway disebabkan perhimpunan sosial,” tegasnya.

Kim Shin menyatakan, Daerah Miri berada di zon merah sejak 11 Januari lalu dan jumlah kes positif Covid-19 dalam kalangan komuniti masih tinggi.

“Mereka yang berada di tempat kerja diingatkan untuk mematuhi SOP di tempat kerja dengan ketat. “Pelitup muka mestilah sentiasa dipakai, mengimbas MySejahtera, suhu badan dan kerap membersihkan tangan,” jelasnya.

Sementara itu, JPBB Miri melalui Pejabat Kesihatan Bahagian Miri akan terus melakukan pengesanan kontak secara agresif dan memasang gelang tangan untuk tujuan pemantauan.

Pada masa yang sama, langkah-langkah penguatkuasaan akan terus dilaksanakan bagi mengesan perlanggaraan SOP di kalangan komuniti.

Suara Sarawak