Maradona kongsi pengalaman

MUKAH: Seorang penerima vaksin, berasal dari Mukah, Sarawak yang menetap di Queensland, Australia, Maradona Mark Martin, 39, berkongsi pengalaman menerima dos vaksin pertama dan dos kedua beberapa hari lalu di Queensland.

“Selepas menerima suntikan vaksin ini, saya hanya berasa lenguh di bahagian bahu. Saya juga berasa pening-pening dan ia hanya perkara biasa.

“Manakala bagi yang mempunyai alahan mungkin ia memberi kesan sampingan sedikit tetapi ia tidak memudaratkan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak melalui aplikasi WhatsApp semalam.

Maradona berkata, Perdana Menteri Australia Scott Morrison merupakan individu yang pertama di negara itu disuntik vaksin berkenaan.

Ia termasuk beberapa warga emas di rumah penjagaan dan beberapa hari kemudian golongan ini tidak mendapat kesan sampingan.

“Vaksin percuma yang diterima di sini ialah jenis PfizerBioNTech and AstraZeneca sama seperti di Malaysia,” katanya lagi.

Menetap lebih 12 tahun di Australia, Maradona berpendapat vaksin tersebut amat penting untuk mencegah daripada jangkitan virus pembunuh senyap itu dan melindungi orang di sekeliling kita.

“Cara kita menjalani kehidupan hari ini memang menjadi norma baharu dan akan mengambil masa untuk pulih seperti biasa.

“Justeru, ia juga bergantung kepada kepercayaaan kita terhadap keberkesanan sains serta kesan vaksin ini kepada kesihatan sejagat,” ujarnya.

Menurut Maradona, berdasarkan kajian yang dibuat kepada penduduk di benua Asia dan Afrika, tindak balas selepas menerima suntikan ini yang paling berkesan, berbanding mereka yang berada di benua Eropah kerana faktor cuaca.

Beliau mengakui, terdapat protes daripada penduduk di Australia, terutama di kawasan bandar berhubung kemestian mengambil vaksin. “Ada beberapa syarikat mahu pekerjanya mengambil vaksin.

Jika tidak, pekerja itu akan dibuang kerja.

“Selain itu, protes ini juga dikaitkan dengan pencanggahan agama,” kongsinya lagi.

Dedahnya, pada bulan Oktober depan, dijangkakan kesemua rakyat Australia akan menerima vaksin dos pertama berkenaan.

“Tindakan kerajaan di sini sama seperti di Malaysia kerana secara berperingkat-peringkat mereka menjalankan langkah vaksinasi,” tegasnya.

Bekerja sebagai Pegawai Hospitaliti Dapur di sebuah syarikat swasta, Maradona berkata, sejak Januari lalu dia sudah mendapat beberapa suntikan kerana bekerja di barisan depan perkhidmatan hospitaliti.

“Selepas ini saya juga melakukan Ujian Penilaian Saringan Tuberkulosis dalam tempoh tiga hingga empat minggu termasuk suntikan vaksin seterusnya.

“Suntikan ini sama seperti mencegah demam yang dilakukan dua kali setahun kepada rakyat di sini,” jelasnya.

Bagi Maradona, dia merupakan antara 5.188 juta penduduk yang menetap di Queensland, Australia menerima vaksin sebagai langkah pencegahan Covid-19.

Malah, dia yakin, vaksin berkenaan dapat membantu memulihkan seluruh dunia yang terjejas akibat penularan pendemik dan mendoakan semua rakyat Malaysia serta keluarganya di Kampung Tellian Mukah sentiasa dilindungi daripada Covid-19.

Baru-baru ini sahaja katanya, Australia menerima masuk bekalan tambahan untuk dos kedua vaksin Covid-19 dari luar negara.

“Melihat kepada senario ini, sama ada anda mahu menerima suntikan vaksin, ia terpulang kepada anda sendiri.

“Bagimanapun, anda mesti membuat keputusan tepat dan mengambil kira keselamatan
bersama.

“Malah kerajaan turut memberi pengecualian kepada golongan tertentu untuk tidak mengambil vaksin ini.

Justeru, tepuk dada tanya selera, mencegah lebih baik daripada merawat,” tegasnya.

Sementara itu, Kerajaan Malaysia masih kekal dengan keputusan memberikan dua dos vaksin PfizerBioNTech, dan tidak akan menangguhkan pemberian dos kedua, buat masa ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pada 21 Februari lalu berkata, ia berikutan kerajaan masih belum mengkaji dakwaan menyatakan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech memiliki keberkesanan sehingga 85 peratus.

“Perkembangan terbaharu oleh sebuah negara yang melaksanakan program vaksinasi dengan agak cepat, menyatakan satu dos vaksin Pfizer memiliki keberkesanan sehingga 85 peratus.

“Namun, kita masih belum lagi membuat kajian mengenai data berkenaan, jadi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) kekal dengan dasar pemberian dua dos Pfizer,” katanya.

Khairy menambah, selang antara dua dos itu kekal 21 hari seperti yang disarankan oleh Syarikat Pfizer.

Suara Sarawak