Marchisio wira cilik selamatkan 350 penduduk

KUCHING: Hari Kanak-Kanak dan Hari Taska Sarawak 2020 julung kali disambut dalam situasi kelaziman baharu untuk memutuskan rantaian Covid-19. Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, sambutan tahun ini tidak seperti sebelumnya kerana ia disambut tanpa kehadiran kanak-kanak.

“Kementerian menerima surat dari Putrajaya untuk menangguhkan sambutan, tetapi setelah banyak pertimbangan, kami memilih untuk meneruskan dengan syarat tidak ada kehadiran anak-anak untuk mencegah penularan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak dan Hari Taska Sarawak di Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah di sini pada Sabtu.

Sementara itu, meskipun tanpa kehadiran kanak-kanak majlis tersebut semalam turut dimeriahkan dengan persembahan daripada mereka melalui rakaman video.

Beliau yang hadir semalam mengadakan pertemuan maya (panggilan video) dengan Marchisio Lias Tangom yang berusia enam tahun kerana berjaya menyelamatkan penduduk rumah panjang RH Kampung Sebuyau Ensengai Iban di Sebuyau daripada kebakaran.

Marchisio diberikan Anugerah Ketangkasan Kanak-Kanak 2020 kerana keberaniannya bertindak dengan memberi amaran kepada penduduk di rumah panjang mengenai kebakaran pada 4 Jun lalu.

Tindakan itu menjadikannya wira cilik kerana menyelamatkan sekitar 350 penduduk daripada 48 pintu rumah panjang. Fatimah juga menyampaikan Anugerah Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) Berkualiti Sarawak 2020 kepada Tadika Astana Miri dan Tadika Krista Taman Centurion Kuching di mana masing-masing menerima replika cek bernilai RM5,000.

Selain itu, beliau juga menyampaikan replika cek dan sijil kepada wakil juara untuk peserta yang menyertai pertandingan sempena Bulan Sambutan Hari Kanak-Kanak Tahun 2020, Jabatan Kebajikan Mayarakat Sarawak.

Untuk rekod, sekitar 863,400 kanak-kanak Sarawak di negeri ini, daripada jumlah itu, 441,400 merupakan kanak-kanak lelaki dan 422,000 lagi perempuan.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dr. Saadiah Abdul Samat, Pemangku Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Mohamad Guntor Rajaee serta wakil yang lain.

Suara Sarawak