PERTANDINGAN ratu cantik bukan sekadar meraikan kecantikan, tetapi juga menjadi platform wanita pelbagai latar belakang meneroka potensi mereka, membina keyakinan diri, dan membuka lebih banyak peluang kejayaan.
Justeru, edisi ketiga pertandingan Mrs. Petite Global 2025 anjuran Tiara Management, yang diasaskan oleh Nickson Sim, melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang dalam acara kemuncak di Auditorium Shantanand, Kuala Lumpur, Malaysia, baru-baru ini.
Menurut Nickson, pertandingan berprestij itu meraikan wanita berkahwin dan ibu tunggal yang mempunyai ketinggian di bawah 168 sentimeter, serta menyaksikan penyertaan peserta dari 10 negara dan wilayah.
“Antaranya Indonesia, Filipina, Thailand, Myanmar, India, Jepun, Singapura, Vietnam, Sri Lanka, Borneo, dan Malaysia — yang bersaing merebut gelaran yang diidamkan.
“Malam penuh gemilang itu menyaksikan Margaret Riba dari Borneo dinobatkan sebagai Mrs. Elite Petite Global 2025, manakala Madeleine Poh dari Singapura merangkul gelaran Mrs. Petite Global 2025.

“Kedua-duanya mencerminkan keanggunan, keyakinan dan dedikasi, membuktikan kecantikan dan pemerkasaan wanita bergerak seiring,” ujarnya kepada Suara Sarawak.
Dalam pada itu, Nickson berkata, mahkota kemenangan tersebut disampaikan oleh pemegang gelaran terdahulu, iaitu Mrs. Petite Global 2024, Aki Yazawa dari Jepun dan Mrs. Petite Global 2023, Joyce Nyupeh dari Malaysia.
“Margaret Riba, seorang suri rumah berusia 37 tahun dan Perunding Kecantikan Kanan Mary Kay dari Kapit, Sarawak, menyertai pertandingan ini dengan misi untuk menginspirasi dan memperkasakan wanita agar menerima kecantikan dalaman, kekuatan dan tujuan hidup mereka, terutamanya selepas berkahwin dan dalam fasa dewasa.
“Sebagai seorang yang memperjuangkan keyakinan diri dan kesedaran kesihatan wanita, saya percaya setiap wanita layak dihargai, dilihat, dan berasa berupaya mencapai impian mereka,” kata Margaret.
Sebagai perunding kecantikan, beliau bekerjasama dengan beberapa hospital, termasuk Hospital Pantai, Hospital Aurelius, Columbia Asia Hospitals, dan Gleneagles Hospital, bagi menyokong wanita dalam penjagaan kesihatan, kakitangan hospital, serta pekerja sokongan mereka.
Selain itu, Margaret turut menjadi penaja Pesta Ratu Menuai dan Anak Borneo Semenanjung. Kemenangannya membuktikan suri rumah dan ibu bekerja mampu mencapai impian mereka tanpa sebarang halangan.
“Dengan gelaran ini, saya berhasrat untuk mengembangkan usaha kemanusiaan saya bagi membantu komuniti yang memerlukan,” jelasnya lagi.
Sementara itu, seorang peguam berusia 28 tahun dari Singapura, Madeleine Poh, komited memperkasakan masyarakat melalui akses kepada keadilan undang-undang.
“Saya percaya pengetahuan undang-undang dapat membantu individu memahami hak mereka serta mengurangkan ketakutan terhadap sistem perundangan.
“Dedikasi saya dalam bidang ini bermula sejak zaman universiti, iaitu menerajui “Pelajar untuk Migran”, sebuah inisiatif yang mendidik Pekerja Domestik Asing mengenai hak perundangan mereka,” ujarnya lagi.
Kini, sebagai peguam yang dilantik oleh Biro Bantuan Guaman, Madeleine menawarkan perkhidmatan secara percuma (pro bono) kepada golongan yang tidak mampu mendapatkan khidmat guaman.
Selain itu, Madeleine juga aktif dalam pelbagai klinik guaman serta menyertai Pro Bono SG’s Just Jalan 2025, satu program pengumpulan dana bagi menyokong komuniti yang memerlukan dan pendidikan berkaitan hak perundangan.
Diasaskan pada 2023 oleh Nickson Sim dari Tiara Management (Kuching, Sarawak), Mrs. Petite Global dengan pantas mencipta nama sebagai pertandingan antarabangsa berprestij untuk wanita berkahwin dan ibu tunggal.
Melalui pentas global ini, wanita seperti Margaret Riba dan Madeleine Poh terus memberi inspirasi serta menyokong wanita lain, membuktikan bahawa keindahan sebenar terletak pada keberdayaan, ketahanan, dan tujuan hidup yang jelas. Untuk maklumat lanjut, pertanyaan media, atau permintaan temu bual, hubungi Nickson Sim di talian 016-8853542.










