MARILAH kita merenung seketika pencapaian kita sekarang ini?

Pada masa yang sama kita cuba ingat bagaimana kedudukan kita 10 atau 20 tahun yang lampau.

Alhamdulilah, saya yakin ramai yang berjaya mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus impian.

Jika dahulu kita berbasikal, hari ini kita sudah mampu memiliki sebuah kereta.

Jika dahulu kita seorang pelajar, hari ini kita sudah mempunyai kerjaya. Semua ini memberikan satu penanda aras bahawa kita sedang bergerak ke hadapan. Kita seorang yang dinamik dan sentiasa proaktif.

Adakah kita tahu apa yang menyebabkan kita berjaya atau mendapat gred yang cemerlang dalam pelajaran hingga kita mampu mengubah hidup kita.

Apa yang mendorong kita ingin melakukannya dengan bersungguh-sungguh dalam peperiksaan dan dalam kehidupan kita?

Sebenarnya semua itu disebabkan adanya dorongan.

Kita ingin berjaya dalam hidup, kita ingin menjadi yang terbaik di sekolah.

Itulah motivasi kita. Sebab atau keinginan kita untuk berjaya adalah motivasi kita.

Terdapat dua jenis motivasi yang mampu mengubah diri kita, iaitu motivasi intrinsik dan ekstrinsik.

Saya teringat kisah yang diceritakan oleh seorang motivator terkenal dunia, Simon Sinek.

Beliau menceritakan tentang kejadian yang mengubah persepsinya melihat bagaimana motivasi begitu penting dalam menentukan kejayaan seseorang manusia.

Kejadian itu berlaku semasa dia dan rakannya pulang daripada beriadah di Central Park New York.

Beliau melihat ramai orang berbaris untuk mengambil bagel percuma. Lantas dia mengajak rakannya mengambil bagel percuma itu. Namun rakannya menggelengkan kepala.

Simon terus mendesak kerana bagel itu diberikan percuma.

Sekali lagi rakannya menggeleng kepala dan mencadangkan kepada Simon untuk membeli bagel di kafe sahaja.

Namun Simon terus mendesak untuk kali ketiga dengan berkata “ Its free bagel”.

Rakannya tetap menggeleng kepala dan menyatakan bahawa barisan terlalu panjang dan malas hendak beratur.

Simon terus menuju ke gerai tersebut dan meminta izin untuk memotong barisan dan mengambil sebiji bagel percuma tanpa menyebabkan orang lain marah.

Apa yang dipelajari oleh Simon dalam kisah ini ialah bagaimana cara orang melihat sesuatu dan bertindak untuk mendapatkan sesuatu.

Ramai orang inginkan bagel percuma itu dan cuba mendapatkannya.

Namun ada orang melupakan hasrat mendapatkan bagel percuma itu selepas melihat barisan yang panjang.

Bagel percuma adalah motivasi tetapi melihat kesukaran mendapatkannya kerana terpaksa berbaris menyebabkan ia kurang bermotivasi.

Jelas bahawa bagel itu adalah motivasi ektrinsik kerana ia adalah ganjaran.

Kesanggupan dan keinginan untuk mendapatkannya adalah motivasi intrinsik kerana ia mendorong kita bergerak untuk mendapat apa yang kita inginkan.

Dalam hal ini Simon tidak perlu berbaris tetapi hanya meminta izin untuk memotong giliran hanya untuk mengambil satu bagel tanpa memilih perisa.

Inilah kebijaksanaan yang digunakan untuk mendapatkan apa yang diinginkan walaupun menempuh risiko.

Motivasi intrinsik adalah kemahuan dan keinginan yang timbul dari dalam diri kita.

Jika kita seorang pemain bola sepak, kita pasti mahu menjaringkan gol dan mahu pasukan kita menang dalam perlawanan dan kita akan membolehkan para penyokong kita berasa bahagia dan gembira dengan kemenangan itu.

Motivasi ini berpunca daripada kesungguhan, keghairahan dan minat kita terhadap sukan bola sepak.

Motivasi ekstrinsik pula memaksa kita untuk bertindak berdasarkan kelebihan atau ganjaran yang bakal diperolehi.

Sebagai contoh pemain bola sepak tadi, motivasi ekstrinsik ialah untuk mendapatkan bonus jaringan yang dijanjikan oleh kelab dan pasukannya.

Ganjaran itu mungkin datang dengan jumlah wang yang ditawarkan oleh kelabnya kepada pemain yang berjaya menjaringkan gol.

Keinginan itu bukan keinginan yang timbul secara semula jadi dalam diri , tetapi kerana seseorang atau akibatnya.

Pemilik kelab mungkin menawarkan program insentif untuk kita bekerja lebih keras.

Pengaruh luaran ini dapat memberi kesan besar kepada kejayaan kita dalam mengejar cita-cita. Meskipun motivasi intrinsik kelihatan lebih baik daripada ekstrinsik.

Keduanya, masih mempunyai kelebihan dalam membantu kejayaan seseorang.

Bermotivasi secara dalaman sangat bermanfaat kerana ia bergerak secara semula jadi dan mencipta rasa ikhlas dan keseronokan kepada seseorang untuk mencapai cita-cita.

Keinginan untuk melakukan sesuatu tindakan memerlukan lebih sedikit usaha daripada motivasi yang dipacu oleh pihak luar.

Menjadi pandai dalam aktiviti tidak semestinya menjadi faktor. Motivasi ekstrinsik pula sangat berkesan jika seseorang mempunyai pekerjaan atau tanggungjawab untuk melakukannya sehingga mereka melakukan secara ikhlas tanpa memikirkan kepentingan diri sendiri sebaliknya untuk manfaat di tempat kerja, sekolah, dan masyarakat umum.

Motivasi intrinsik dan ekstrinsik berfungsi dengan cara yang berbeza namun tujuannya sama iaitu untuk menjadikan kita berdaya saing dalam mengejar apa yang kita impikan.

Kesimpulannya ialah tetapkan matlamat dan hala tuju kita, bersihkan hati dan ikhlaskan setiap usaha dengan niat yang baik dan berusahalah mendapatkan apa yang kita inginkan dengan cara yang halal dan diredai.

Suara Sarawak