Trending

Maritim Bintulu rampas pelbagai rokok, minuman keras seludup

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu berjaya merampas 15 buah peti rokok putih pelbagai jenama dan 95 karton minuman keras dalam satu operasi di di sekitar kawasan pantai Samalaju, di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, operasi sekitar jam 8.00 malam itu merupakan sebahagian usaha mengesan dan mengekang aktiviti penyeludupan barangan bercukai.

“Semasa dikesan, lima orang suspek sedang melakukan aktiviti pemunggahan barangan tersebut namun berjaya meloloskan diri dengan menggunakan dua buah kenderaan jenis pacuan empat roda yang gagal dikesan nombor pendaftarannya kerana faktor cuaca.

“Malah, keadaan laut yang bergelora menyukarkan pasukan Maritim Malaysia untuk merapat ke pantai dengan cepat bagi melakukan tangkapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua hasil rampasan yang dianggarkan berjumlah RM 45,250 tidak termasuk cukai itu dibawa ke pejabat Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 kerana melakukan aktiviti penyeludupan.

“Kejayaan ini juga hasil maklumat awam dan risikan yang dilakukan oleh Maritim. Sehubungan itu, saya ingin menzahirkan terima kasih dan amat mengalu-alukan maklumat serta aduan sebegini daripada seluruh komuniti maritim.

“Pada masa yang sama, Maritim Malaysia juga sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang dan membuat laporan secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-351 798)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam jika ada sebarang aktiviti yang mencurigakan,” katanya.

Barangan rampasan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu dalam operasi di Pantai Samalaju.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru