
BINTULU: Dua bot tunda, dua tongkang dan 15 kru ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Bintulu kerana melakukan aktiviti pemindahan barangan bercukai disyaki kayu balak import dari Papua New Guinea.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, kedua-dua bot tunda serta tongkang terbabit dikesan pada kedudukan lebih kurang tiga batu nautika dari muara Sungai Kemena Bintulu, sekitar jam 6 petang, semalam.
Hasil pemeriksaan dan penggeledahan katanya, didapati kesemua bot tunda dan tongkang tersebut gagal mengemukakan dokumen kebenaran melakukan aktiviti pemindahan barangan bercukai di laut.
“Malah, sebuah bot tunda dan sebuah tongkang juga gagal mengemukakan Domestic Shipping Licence (DSL),” ujarnya.
Ujarnya, kesemua 15 kru bot yang ditahan berusia antara 23 hingga 56 tahun terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan, lapan lelaki warga Indonesia, dua lelaki warga India dan dua lelaki warga Myanmar.
“Bagaimanapun, kesemua kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap serta permit bekerja di atas bot tunda dan tongkang tersebut,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Sehubungan itu, Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.
Maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim juga amat dialu-alukan jika terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut. Aduan boleh dibuat secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082- 432544) yang beroperasi 24 jam.