Maritim Miri tangkap tujuh nelayan asing ceroboh perairan negara

MIRI: Tujuh nelayan vietnam ditahan ketika sedang leka menangkap ikan, di perairan 21 batu nautika di barat laut Kuala Sibuti.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Md. Fauzi Othman berkata kesemua mereka di dalam sebuah bot ditahan kira-kira jam 10 pagi semalam.

“Menyedari kehadiran Maritim, bot nelayan asing itu melepaskan beberapa peralatan menangkap ikan ke laut sebagai cubaan melupuskan bahan bukti selain untuk meloloskan diri semasa hendak diperiksa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah empat daripadanya mempunyai pasport manakala tiga orang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Md. Fauzi berkata kesemua kru dan tekong berusia 27 hingga 43 tahun itu kemudian dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Pulau Melayu di sini untuk siasatan lanjut.

Katanya kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah.

Orang ramai yang ingin melaporkan maklumat berhubung salah laku di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

Nelayan Vietnam yang ditahan ketika sedang leka menangkap ikan di perairan Miri.

Suara Sarawak