Maritim Sarawak komited kekang pencerobohan nelayan asing, jenayah di perairan

KUCHING: Maritim Sarawak akan menggerakkan lima aset beroperasi setiap hari pada tahun ini, bagi memastikan perairan negeri ini tidak dicerobohi oleh nelayan asing dan membanteras segala jenis jenayah serta salah laku.
Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata cabaran setakat ini adalah keluasan perairan Sarawak iaitu 239,605 kilometer persegi di mana merupakan antara perairan yang paling besar berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung termasuk Sabah.
“Namun dengan adanya 15 kapal dan 15 bot yang ditempatkan di seluruh Maritim Sarawak, saya yakin kita dapat meningkatkan aktiviti pengawasan dan penguatkuasaan di perairan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Penguat Kuasa Maritim Sarawak dan Majlis Perpindahan KM Semilang di Jeti Komtas di sini, hari ini.
Sementara, Zin Azman berkata pihaknya turut menempatkan KM Semilang di Zon Maritim Tanjung Manis bagi melancarkan tugas operasi dan CARILAMAT.
“Dengan penambahan aset di Tanjung Manis, kami dapat membuat pemantauan di perairan Sarawak dengan lebih berkesan.
“Sebelum ini, kami hanya ada sebuat aset di Zon Maritim Tanjung Manis yang beroperasi iaitu Bot Pengawal 22,” katanya.
Manakala untuk CARILAMAT, beliau berkata akan memastikan semua pengusaha vesel mahupun bot nelayan sentiasa memakai jaket keselamatan, peka dengan keadaan cuaca dan mempunyai alat ‘Personal Locater Beacon’ ketika turun ke laut agar mudah untuk pihaknya mengesan lokasi sekiranya berlaku kecemasan.
“Kami akan membuat program keselamatan di laut dengan lebih kerap pada tahun ini bagi memberi kesedaran dan peringatan kepada orang awam dan seterusnya mengurangkan kejadian yang tidak diingini berlaku di laut,” katanya.