Maritim Sarawak perketat sempadan perairan Malaysia-Indonesia

KUCHING: Maritim Sarawak bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) kini memperkukuhkan benteng sempadan perairan Malaysia-Indonesia khasnya kawasan perairan Tanjung Datu.

Langkah itu diambil susulan cubaan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) menceroboh masuk ke Malaysia sejak kebelakangan ini.

Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata operasi bersepadu yang dilaksanakan ini bukan sahaja bagi mengekang kemasukan warga asing secara haram ke Sarawak, malah juga sebagai langkah pencegahan kepada jenayah rentas sempadan.

“Antaranya seperti pemerdagangan manusia, penyeludupan barang terkawal, penyeludupan senjata dan penyeludupan dadah serta bagi mengekang penularan wabak Covid-19 ke dalam negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Op Benteng berkenaan diaktifkan pada 12 Mei lalu di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diberi mandat untuk menyelaras operasi kawalan persempadanan negara bersama-sama agensi penguatkuasaan lain.

Agensi penguatkuasaan terlibat termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Sukarelawan Malaysia.

Suara Sarawak