KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Sarawak menahan sebuah vesel nelayan asing yang tidak mempunyai nombor pendaftaran dan disyaki melakukan pelbagai perlanggaran undang-undang maritim dalam operasi penguatkuasaan di perairan utara Sarawak.
Pengarah Maritim Sarawak, Mohd Khairi Abd Aziz berkata penahanan dilakukan kira-kira jam 11.30 pagi pada 25 Julai lalu di kedudukan 121 batu nautika utara Tanjung Po ketika aset Maritim Malaysia melaksanakan Op PERMAI 01/2019, Op NAGA dan Op TIRIS 4.0.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan tidak mempunyai nombor pendaftaran dan dikendalikan oleh dua kru warga Indonesia, termasuk seorang nakhoda,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah pemeriksaan lanjut mendapati vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63.
Justeru, katanya vesel bersama kedua-dua kru telah ditahan dan diiring ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.




