MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Miri menahan sebuah bot tunda kerana didapati menggunakan lesen tamat tempoh.
Pengarah Zon Maritim Miri, Md. Fauzi Othman berkata bot tunda itu ditahan menerusi Op Permai yang dijalankan kira-kira jam 2.05 petang semalam pada kedudukan 3.4 batu nautika di barat daya Kuala Baram.
“Pemeriksaan mendapati bot tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen dan Lesen Kapal Domestik (DSL) didapati telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata bot tunda tersebut dikendalikan oleh lima kru warga Indonesia termasuk tekong, berumur dalam lingkungan 26 hingga 49 tahun dan mempunyai dokumen serta pasport pekerjaan yang sah.
Md. Fauzi berkata kesemua kru dan kapal ditahan dan dibawa ke kawasan berlabuh di Miri untuk siasatan lanjut.
Katanya kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana DSL yang sudah tamat tempoh.
Sebarang aduan, maklum balas serta kecemasan di laut, orang ramai disarani menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.