ARTIKEL

Maruku tiga generasi dapat permintaan tinggi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

IPOH: Sambutan Deepavali bagai tidak bermakna tanpa hidangan kuih tradisional muruku, yang menjadi kudapan kegemaran bukan sahaja kaum India tetapi juga semua lapisan masyarakat di negara ini.
Pengusaha muruku di Kampung Kacang Putih, Buntong, J. Ganesan, 42, berkata muruku yang dihasilkan keluarganya sejak tiga generasi lalu, yang sentiasa mendapat tempahan pelanggan di luar musim perayaan, mendapat permintaan tinggi sejak sebulan lepas.

Beliau berkata perniagaan turun-temurun itu dimulakan sejak 60 tahun lepas oleh datuknya N.Ammamuthu dan diteruskan mendiang bapanya A.Jayabalan yang meninggal dunia pada 2020 lalu.
Uniknya, muruku yang dijualnya menggunakan resepi diwarisi daripada datuknya kepada mendiang bapanya hinggalah ke hari ini dan masih mengekalkan bahan yang sama.
Ganesan berkata tidak ada sebarang olahan dilakukan sejak 60 tahun dan bahan digunakan perlu mengikut sukatan yang telah ditetapkan.

Bancuhan tepung dibuat secara manual dengan tangan dan tidak boleh dibancuh dalam kuantiti yang banyak, kerana bimbang kualiti dan rasa muruku akan terjejas.
Keistimewaan muruku Ganesan terletak kepada kerangupan dan bahan rempah khas yang digunakan, menjadikan makanan itu sesuai dimakan pada bila-bila masa.
“Ada sesetengah muruku mungkin agak tebal dan terlalu keras, adakalanya tidak terasa rempah ratus yang digunakan. Kami tidak mengatakan produk kami yang terbaik, namun semua perkara itu kami jaga.
“Itulah sebabnya kami fokus kepada satu produk sahaja dan tidak mengusahakan produk atau kekacang yang lain, kerana kami mahu jaga kualiti yang dihasilkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.
Ganesan berkata murukunya sentiasa mendapat tempahan tempahan daripada pengedar seluruh Perak dan dari luar ini sama ada daripada syarikat ataupun individu dan permintaan biasanya meningkat bukan hanya pada perayaan Deepavali tetapi juga Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina.
Genesan berkata nama Kampung Kacang Putih di Buntong sudah sinonim dengan masyarakat di Malaysia dan ia turut memainkan peranan perkembangan perniagaannya.
“Kacang Putih ialah lambang dan simbol kejayaan keluarga dan masyarakat Buntong yang mengusahakan perniagaan ini, memang kami terima maklum balas daripada orang ramai kacang putih dari Ipoh antara yang terbaik.
“Saya masih ingat lagi kami ikut ayah berniaga kecil-kecilan di pasar malam, rumah ke rumah, bawah pokok malah adakalanya ke Batu Caves berniaga, tetapi kini tidak lagi, penggemar kacang putih sendiri yang datang ke Buntong,” katanya yang menjual murukunya pada harga RM20 satu balang kepada pembekal dan kebiasaannya pembekal akan menjual dengan harga RM25 hingga RM27
Sementara itu, isterinya T. Kavitha, 37, berkata beliau berbangga menjadi sebahagian daripada pembuat dan pengusaha muruku di Buntong.
“Perusahaan muruku telah lama menjadi sumber pendapatan keluarga suami saya sebelum ini, jadi kami sepakat meneruskan tradisi itu yang kekal hingga ke hari ini,” katanya yang kini turut melatih tiga anak perempuannya, agar warisan sedia ada tidak hilang dan akan mengalir dari generasi ke generasi.
“Setakat ini mereka didedahkan dengan cara membancuh adunan dan proses membentuk muruku termasuk membungkus, manakala proses memasak akan dikendalikan sendiri oleh suami.
“Memang suami saya terapkan anak-anak kami supaya mempelajari setiap proses terbabit supaya mereka faham dan belajar agar legasi perniagaan ini dapat diteruskan kelak,” katanya.
— BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

2,338 menara telekomunikasi siap dibina

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,338 menara telekomunikasi baharu daripada 3,884 yang dirancang melalui Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk menaik taraf jaringan jalur lebar di seluruh

67 peratus responden setuju PLKN diwujudkan semula

KUALA LUMPUR: Sebanyak 67 peratus daripada 2,633 responden bersetuju dengan pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0) susulan tinjauan umum yang dilaksanakan sejak 24

Pencalonan Anugerah Sastera Negara kini dibuka

KUALA LUMPUR: Pencalonan bagi Anugerah Sastera Negara Ke-16, khusus untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan tertinggi bertaraf negara kepada tokoh sasterawan, kini dibuka mulai semalam hingga

BERITA TERBARU

Sarawak berada di depan transformasi digital

SEPANYOL: Sarawak berada di barisan hadapan dalam transformasi digital sekali gus memanfaatkan teknologi untuk memacu inovasi dan produktiviti merentasi pelbagai industri. Menurut Menteri Utiliti dan