Masa untuk majukan pertanian

BETONG: Masyarakat luar bandar diharap menyambut baik usaha Kerajaan Sarawak menjadikan negeri ini sebagai bakul makanan, dengan berani berubah ke arah pertanian moden.

Adun Layar Gerald Rentap Jabu berkata, kerajaan mempunyai perancangan besar untuk membangunkan sosioekonomi masyarakat luar bandar lebih-lebih lagi di kawasan Betong yang terletak dalam bakul makanan dan projek Agropolitan Bukit Sadok.

“Ini bukannya masa untuk kita melihat sahaja. Sebaliknya, inilah peluang besar masyarakat luar bandar untuk memajukan ekonomi masing-masing.

“Percayalah, peluang perniagaan ada kerana kita mempunyai jaringan jalan raya yang semakin baik. “Bagaimanapun, saranan yang selalu disebut oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas amat jelas bahawa kita harus beralih kepada pertanian moden.

“Biarpun ini merupakan cabaran besar tetapi komitmen kerajaan begitu tinggi untuk membantu masyarakat terlibat dengan aktif… sambutlah usaha Kerajaan Sarawak agar kita tidak ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata demikian merasmikan Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) Bahagian Betong Siri 20/2020 di Rumah Panjang Jack Braoh, Pais, Skrang, semalam.

Jelasnya, AgriCOP anjuran Jabatan Pertanian Sarawak Bahagian Betong memberikan pendedahan secara langsung mengenai teknologi pertanian terkini kepada golongan sasar melalui ceramah, pameran serta demonstrasi pertanian.

“Ini bagi memastikan kita dapat bersama-sama mengadaptasi amalan pertanian teknik moden,” ujarnya.

Siri kali ini disertai 122 peserta dari sembilan rumah panjang iaitu Pais, Sebangkoi, Enteban, Remabong, Bukong, Pematoh, Penurin, Tansang dan Nyelutong. Mereka didedahkan dengan tanaman lada, durian, fertigasi selain demonstrasi pembuatan pekasam ikan, sos dan kordial nanas.

Suara Sarawak