Masak di rumah, makan di luar

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

RAMAI yang berang dengan kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang menyentuh isu tabiat ketagihan rakyat makan di luar sehingga menjejaskan pendapatan bulanan rakyat.

Ramai yang menganggap, kenyataan itu tidak wajar buat masa ini kerana rakyat sekarang berdepan dengan kenaikan barang mentah.

Apa yang rakyat mahu pelan tindakan kerajaan bagi mengatasi masalah ekonomi dan kenaikan harga barang.

Semalam juga teman saya pengusaha kedai makan meluahkan perasaan mengenai isu ini selepas membaca akhbar ini yang memapar isu makan atau makan luar?

Katanya, dia sendiri hampir terduduk dan sudah bergolok bergadai untuk meneruskan kesinambungan perniagaan.

“Saya sudah bergolok bergadai malah rakan peniaga lain pun sama terpaksa menggunakan aset peribadi bagi menampung perniagaan.

Saya tak malu mengakui, pinjaman perniagaan tertunggak sehingga dua ke tiga bulan,”katanya.

Dia sedang dalam proses mengatasi overhead yang tinggi dan tidak mampu ditampung.

“Keadaan sekarang bertambah teruk dengan kenaikan harga beras, bahan mentah terutamanya penjual nasi campur, nasi ayam penyet dan menu berasaskan nasi,” katanya.

Katanya, kos meningkat 90 peratus dan terpaksa menggilirkan pekerjannya untuk menjimatkan gaji hari.

Dalam nada sedih katanya, dia cuma mampu bertahan dalam dua ke enam bulan.

“Lagi-lagi kenyataan ketagihan makan luar menjadi punca pendapatan rakyat selalu berkurangan.

Bagaimana dengan kami peniaga? Kami pun mahu hidup, rakyat pun selalu makan.

Kita takkan dapat melarang rakyat yang memilih sendiri makan di luar.

“Ia ibarat menambah beban peniaga yang kini sedang berdepan cabaran.

Sekarang ini, perniagaan merudum.

Bagus cari idea bagaimana kami mahu hidup daripada kenyataan yang benarbenar memberi kesan,” katanya.

Namun hakikatnya, masih ramai antara kita yang lebih memilih untuk makan di luar berbanding masak sendiri kerana kekangan masa dan penat bekerja seharian.

Mungkin dapur di rumah berasap hanya waktu hujung minggu.

Tapi mengikut ilmu hisab mudah saya, bagi yang memiliki seorang dua anak ketika masa bekerja, lebih baik makan di luar.

Kita guna analogi begini — cuba kira, saya masak kicap empat hiris ayam potong yang sekilogram RM13 — jika empat hiris dalam 350 gram yang agak-agaknya berharga RM4.55 sen.

Kemudian, saya guna minyak untuk menumis, bahan-bahan masakan lain termasuk kicap, bawang dan sebagainya.

Belum saya tambah dengan sos tiram yang biasanya berharga premium dalam semua masakan.

Seterusnya, saya masak nasi, masak sayur untuk dua orang.

Dua menu dan satu nasi, saya agak-agak kesemua harga masakan saya semalam berharga lebih RM20.

Ini tidak termasuk mengemas pinggang mangkuk, bekas memasak, mengemas dapur dan sebagainya — yang saya rasa, antara alasan utama wanita bekerja memilih dapur luar.

Saya memilih kedai selepas waktu persekolahan tengah hari, makan nasi ayam RM10 misalnya, campur minuman RM3, dalam RM13.

Jika dua anak bayar kurang RM30 dan lebih murah ada kedai menawarkan nasi campur tanpa had lauk dan sayur berharga RM8 sepinggan.

Selepas makan, saya boleh terus ke pejabat anak-anak bpleh berehat di rumah.

Itu pendapat peribadi saya sebagai suri rumah, ibu dan isteri yang bekerja.

Lain orang lain cara dan pendapatnya.

Saya memilih untuk menjadi lebih mudah dengan mengeluarkan duit untuk anakanak makan luar pada hari mereka bersekolah.

Jadi, antara masak dan makan luar — kedua-dua sebenarnya sama, tidak lebih tidak kurang.

Sebab semua aturan hidup ada hukumnya, jika sayangkan duit, guna tenaga.

Jika sayangkan tenaga, guna duit.

Jika ditanya kepada saya, saya memilih makan luar untuk anak-anak jika hari bersekolah, dan masak jika mereka bercuti.

Lebih-lebih lagi, sekarang seorang tinggal di kolej, jadi jika saya masak untuk satu orang rasanya saya pilih makan di luar.

Justeru, ketika rakyat menderita dengan kenaikan harga beras, peniaga dalam dilema harga bahan mentah meningkat — frasa ketagihan makan luar — tidak wajar digunakan.

Ramai peniaga kedai makan yang makan hati dengan kenyataan itu.

Budaya makan di luar bukanlah amalan baharu dalam kalangan rakyat Malaysia.

Malah, berdasarkan pemerhatian Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2020, corak perbelanjaan makan di luar rumah semakin menunjukkan peningkatan.

Namun teguran supaya menjimatkan wang jangan kerap makan luar, ada benarnya.

Jika anda mempunyai ramai anak, rasanya lebih baik masak di rumah.

Apa kata, ubah corak perbelanjaan kita.

Dalam bahasa mudah, berbelanja ikut kemampuan dengan mengukur baju di badan sendiri.

Pilihlah barang yang mampu milik dan barang yang lebih murah.

Yang logik dilakukan saat ini merancang corak perbelanjaan selaras dengan pendapatan yang diterima.

Jangan ikut nafsu dan pergi ke setiap kedai makan yang viral kerana tidak mahu ketinggalan dengan fenomena trending.

Ketepikan kehendak, dahulukan keperluan.

Ya, memang benar, kehidupan harin ini dilihat kian mendesak bagi setiap orang.

Tetapi jika perbelanjaan melebihi pendapatan kita, seharusnya langkah awal yang tegas perlu dipraktikkan adalah belanja cara berhemah.

Ini bagi memastikan bahawa setiap kita tidak akan terbeban dengan perbelanjaan yang tidak bermanfaat dan membazir.

Dalam keadaan ini, satu hakikat yang kita perlu terima dan akui ialah manusia memang tidak mampu untuk memenuhi kehendak yang tidak terbatas.

Sebagai manusia juga, kita memang tidak dapat mengelak daripada berbelanja.

Dan manusia juga tidak dapat tidak makan atau bergantung dengan satu-satu makanan sahaja.

Mahu atau tidak, rela atau terpaksa, kita kena berbelanja.

Saya percaya, Tuhan selalu memberi jalan kepada hamba-Nya untuk terus hidup. 

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Pimpinlah tanganku

BAGI anda kepimpinan itu seperti apa? Saya menganggap ia tanggungjawab

Pintu syurgaku

KETIKA menulis kolum ini, saya sebenarnya dalam perjalanan ke kampung

Lain-lain

Pimpinlah tanganku

BAGI anda kepimpinan itu seperti apa? Saya menganggap ia tanggungjawab

Dunia kaki buku

ADA banyak sebab pentaasub dan penggila buku membeli buku. Seorang