Masalah hasil tani tidak terjual diatasi

LIMBANG: Masalah hasil pertanian yang tidak terjual akhirnya diatasi apabila Kerajaan Sarawak membeli hasil petani dan kemudian disalurkan semula kepada golongan sasar.

Adun Batu Danau Paulus Palu Gumbang berkata, inisiatif itu dilakukan bagi membantu golongan petani kerana mereka tidak dapat menjual hasil tani sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Golongan petani merungut kerana tidak dapat memasarkan hasil mereka menyebabkan berlakunya lambakan buah. “Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Pertanian membeli hasil pertanian tersebut daripada petani,” katanya semasa ditemui pada program penyerahan bantuan di pekarangan bangunan Pertubuhan Peladang, kelmarin.

Paulus menjelaskan, hasil pertanian yang dibeli itu akan disalurkan semula kepada golongan sasar yang memerlukan. Ujarnya, golongan sasar berkenaan termasuk ibu tunggal, orang kelainan upaya, warga emas dan sebagainya.

“Pada hari ini, penyerahan berbentuk barangan pertanian seperti sayursayuran dan buah-buahan diberikan kepada 250 penerima di kawasan Dun Batu Danau. “Bantuan berkenaan diberikan kepada setiap ketua kaum dan tuai rumah untuk diserahkan kepada golongan sasar yang telah dikenal pasti,” katanya.

Tambah beliau, penyerahan bantuan berbentuk pertanian dilakukan dalam lima fasa dan kini sudah memasuki fasa keempat. “Dari fasa satu hinggalah fasa keempat, sejumlah RM8,000 sudah dibelanjakan untuk tujuan demikian.

“Fasa kelima akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” ujarnya. Jelasnya lagi, inisiatif itu dilaksanakan bagi membantu golongan terjejas sepanjang PKP dikuatkuasakan di samping mengurangkan lambakan hasil pertanian yang tidak terjual.

Suara Sarawak