Masih bebas di luar sana. Gerakan mencari seorang yang disahkan positif Covid-19. Tidak dapat dihubungi kerana nombor telefon tidak betul

SIBU: Jabatan Kesihatan Sibu masih giat mengesan seorang yang disahkan positif Covid-19 di sini.
Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Annuar Rapaee mengesahkan perkara ini ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Bakul Makanan sempena pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kompleks Islam Sarawak Sibu di sini.
Terdahulu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Sim Kui Hian dalam ciapan di laman sosialnya mendedahkan bahawa Jabatan Kesihatan sedang mengesan 23 orang positif di Sibu yang didapati tidak dapat dihubungi.
“Untuk makluman orang ramai, berikut maklumat terperinci mengenai keberadaan 23 orang didakwa tidak dapat dihubungi itu.
“Sembilan daripadanya sudah berada di Hospital Sibu sejak 17 Januari, seorang berada di Hospital Sibu dari 18 Januari.
“Manakala empat daripadanya merupakan individu yang berada di dalam kawasan sekatan pergerakan dan sudah dihantar ke Hospital Sibu.
“Lapan pula sudah dapat dihubungi semalam,” ujar beliau.
Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi itu berkata, sehingga jam 11.30 pagi tadi, hanya seorang yang masih belum dapat dihubungi.
Usaha mencari individu ini sedang digerakkan.
Adun Nangka itu mengingatkan agar semua individu yang sudah menjalani ujian calitan Covid-19 digesa agar memastikan nombor telefon bimbit mereka diberikan dengan betul supaya dapat dihubungi.