Masih dalam pencarian

PENOLONG jurulatih skuad Piala Presiden Kuching City FC, Zulkarnien Poasa berkata, pihaknya masih belum memuktamadkan senarai pemain ketika ini.

Menurutnya, proses pencarian pemain untuk skuad pelapis masih diteruskan. Katanya, saingan Liga Bola Sepak Bawah 25 Tahun Perbadanan Sukan Sarawak (PSS)/ Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) 2021 bermula 13 Mac ini sebagai pentas terakhir mencari permata tambahan.

“Kami masih belum muktamadkan senarai pemain dan masih lagi mencari. “Liga Bawah 25 Tahun PSS/ FAS 2021 kelak peluang untuk mengenal pasti pemain baharu,” katanya kepada Arena Suara Sarawak semalam.

Zulkarnien berkata, masih ada beberapa kouta yang perlu dipenuhi dalam skuad terbabit. Beliau yakin dapat menemui bintang baharu sepanjang berlangsung liga kelak.

“Kita akan memantau aksi pemain setiap perlawanan dilangsungkan kelak,” jelas beliau lagi. Jelas Zulkarnien, kempen Piala Presiden 2021 akan bermula pada Jun akan datang. Katanya, walaupun masih lama akan tetapi masa yang ada tetap dipergunakan dengan fokus kepada latihan harian.

Suara Sarawak