Masih ramai yang tertipu

PADAWAN: Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Padawan telah menerima 81 laporan kes tipu dalam tempoh 1 Januari hingga 27 Mei tahun ini, yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata laporan kes tertinggi ialah berkaitan Macau Scam, pembelian dalam talian dan pinjaman tidak wujud.

“Modus operandi suspek bermula dengan membuat tawaran melalui aplikasi Whatsapp atau Facebook dengan menawarkan bantuan selamatkan mangsa dari tindakan mahkamah, barang dan duit pinjaman.

“Suspek meminta mangsa membayar wang melalui serahan wang tunai, bank-in atau pindahan dalam talian sebelum menghilangkan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menambah kebanyakan mangsa adalah perempuan berumur antara 25 ke 65 tahun.

“Jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM15 juta,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan supaya masyarakat supaya peka dengan modus operandi penjenayah siber dan jangan panik apabila mendapat panggilan telefon daripada penyamar.

“Segera hubungi balai polis terdekat untuk mendapatkan bantuan.

“Paling penting, jangan mudah percaya, sentiasa berwaspada dan segera matikan panggilan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Suara Sarawak