KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing dikenali sebagai seorang pemimpin politik Sarawak yang begitu gigih, komited, mempunyai warna warni dalam perjuangan politik dan jatuh bangun sejak menjadi Adun pada tahun 1983.
Profesor Adjung Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Jeniri Amir berkata Masing merupakan contoh seorang pemimpin politik Dayak yang boleh dibanggakan.
Katanya, Masing merupakan seorang yang pemimpin yang lantang bercakap benar meskipun Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang dianggotainya pernah bertindak sebagai pembangkang pada tahun 1987 hingga awal 90-an.
“Masing terus bertahan dan berkorban bukan sahaja untuk masyarakat Dayak di Sarawak malah memperjuangkan kepentingan masyarakat di Sarawak.
“Beliau sentiasa menitikberatkan pembangunan luar bandar dan sering turun padang ke Baleh.
“Beliau diterima baik dan ia dapat dibuktikan dengan sokongan yang diberikan kepada beliau dari tahun ke tahun atau satu pilihan raya ke satu pilihan raya yang lain,” katanya mengulas mengenai pemergian Masing, hari ini.
Jeniri berkata, mendiang juga amat tekun dan bersungguh-sungguh dalam memastikan pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar diberikan perhatian.
Tambahnya, hasil dari tuntutan dan saranan beliau, pembangunan bukan sahaja dibawa ke kawasan Baleh malah ke kawasan luar bandar Sarawak yang lain, seiring dengan aspirasi dan hasrat Ketua Menteri yang begitu bersungguh-sungguh membawa pembangunan di luar bandar.
Jeniri menyifatkan pemergian Masing merupakan suatu berita yang mengejutkan dan menyedihkan bagi seluruh rakyat Sarawak.
Katanya, pemergian mendiang meninggalkan lompong yang besar dalam politik Dayak di Sarawak, khususnya dalam parti yang beliau pimpin.
Justeru, Jeniri berkata, Parti Rakyat Sarawak (PRS) perlu bangkit bagi memastikan parti terus dalam landasan yang betul dan memperkukuh legasi yang ditinggalkan oleh Masing.
“Pemimpin muda dan barisan pemimpin yang mengisi kekosongan yang ditinggalkan Masing dalam PRS harus mengambil iktibar, pengajaran dan semangat kental tanpa mudah menyerah kalah serta bersedia berkorban walaupun berdepan tentangan dan cabaran bukan sahaja kelangsungan diri tetapi kelangsungan parti dan rakyat diwakili.
“Semangat yang kental, utuh dan bersedia berjuang bersungguh-sungguh tanpa mudah mengibarkan bendera putih adalah antara ciri kepimpinan ampuh yang diperlihatkan pada Masing dan ini harus menyemarak semangat para pejuang dalam PRS dan pejuang lain termasuk pemimpin politik dalam negara ini,” katanya.
Masing menghembuskan nafas terakhir pada usia 72 tahun, pada jam 7.05 pagi tadi di Pusat Pakar Perubatan Normah di sini akibat komplikasi jantung selepas disahkan positif Covid-19.



