Masjid baharu bercirikan tradisional Melayu

SEMATAN: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengadakan lawatan kerja, seterusnya merasmikan Majlis Pecah Tanah Masjid serta Anjung Usahawan Telok Melano di Telok Melano, semalam.

Kawasan Telok Melano bakal pesat membangun melalui industri pelancongan, yang dapat menarik pengunjung tempatan atau pelancong luar negara.

Ini kerana, Telok Melano kini menjadi tumpuan pelancong yang ingin berkunjung ke pantai yang cantik dan bersih.

Sehubungan itu, terdapat keperluan untuk membangunkan sebuah masjid baharu bagi memenuhi keperluan masyarakat dan pengunjung di kawasan ini.

Selain berfungsi sebagai pusat ibadah, ilmiah, budaya dan rekreasi, masjid baharu ini juga lambang budaya masyarakat melalui reka bentuk tradisional Melayu.

Pada masa yang sama, ia mendorong lebih banyak pengunjung Islam dan bukan Islam mendalami dan memahami kebudayaan Islam penduduk setempat.

Selain itu, Anjung Usahawan Telok Melano pula berfungsi untuk menangani masalah ruang niaga pengusaha kecil tempatan di kawasan terbabit.

Ia juga, membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana untuk menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan yang lebih sesuai, selesa dan selamat.

Anjung usahawan ini juga akan menyediakan ruang lebih selesa dan selamat kepada pengguna untuk mendapatkan produk tempatan, sekali gus meningkatkan akses kemudahan kepada masyarakat luar bandar, seterusnya mengukuhkan sosisoekonomi tempatan.

Anjung usahawan ini bakal dibina bersebelahan dengan masjid baharu dan diyakini mampu mencetuskan lebih banyak pembangunan di kawasan Telok Melano.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr. James Jemut Masing; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan-Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais dan Adun Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu.

Suara Sarawak