Masjid baharu hadiah istimewa Aidilfitri

MATU: Penantian penduduk daerah ini akhirnya tertunai dengan siapnya projek pembinaan masjid baharu yang berharga RM13 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya berkata, masjid berkenaan dijangka dapat digunakan pada Aidilfitri nanti.

“Insyaallah akan digunakan hari raya kelak,” ujarnya ringkas ketika menjawab soalan wartawan Suara Sarawak melalui aplikasi whatsup.

Beliau berkata, pembinaan masjid itu merupakan hadiah Kerajaan Sarawak untuk rakyat di DUN Jemoreng sekaligus yang bakal menjadi ikon pembangunan daerah ini.

“Justeru, saya harap penduduk menggunakan masjid ini dengan baik dan mengimarahkannya dengan aktiviti yang bermanfaat,” katanya.

Melalui masjid baharu berwajah moden ini, pelbagai aktiviti khususnya keagamaan, sosial dan ekonomi yang bermanfaat untuk penduduk dan masyarakat Islam amnya dapat dianjurkan.