Masukkan semula subjek Rukun Negara

KUCHING: Kementerian Perpaduan Negara berbincang untuk memasukkan semula subjek Rukun Negara ke dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Menteri Perpaduan Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhubung dengan perkara tersebut.

“Itu perkara yang sedang kita bincangkan, tetapi ia bukan perkara yang boleh dilakukan dengan cepat. “Kita melihat Rukun Negara sangat penting dan seharusnya boleh masuk semula ke dalam sistem pendidikan bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak, sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke peringkat universiti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Semarak Perpaduan Perkasa Komuniti bersama Kementerian Perpaduan Negara di Kampung Samariang Batu di sini, kelmarin.

Tambahnya, KPM ingin menerapkan kembali perkara tersebut ke dalam sukatan pelajaran.

“Namun terlebih dahulu, kita harus diwujudkan Kelab Rukun Negara di semua sekolah rendah dan sekolah menengah termasuk dengan Sekretariat Rukun Negara di peringkat IPTA dan IPTS. “Jadi senarai jumlah keseluruhan Kelab Rukun Negara di Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah kira-kira 6,000.

“Kita sedang mengembangkannya lagi untuk memastikan kelab-kelab ini dapat diwujudkan dan, pelajar termasuk graduan pengajian tinggi dapat melaksanakan program-program yang berkaitan dengan Rukun Negara,” jelasnya.

Bagaimanapun beliau berkata, ia bukan satu perkara yang boleh diselelsaikan dalam sekelip mata. “Ia adalah perkara yang memerlukan perbincangan yang bijak dan tertib bersama-sama dengan KPM, KPT dan pihak terbabit,” kata beliau lagi.

Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara disambut pada 9 Julai 2020 lalu dan dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di di Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya, Kuala Lumpur

Suara Sarawak