KUCHING: Masyarakat Bidayuh, salah satu komuniti asal Sarawak, dengan jumlah penduduk kira-kira 220,000 orang, perlu memahami sejarah peradaban mereka untuk terus berjaya di masa hadapan, kata Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi negeri Datuk Amar Michael Manyin Jawong.
“Masyarakat Bidayuh di Sarawak mempunyai sejarah budaya sekurang-kurangnya 200 tahun tetapi sejarah peradaban mereka (tidak dicatatkan) dan berharap suatu hari nanti kita dapat mencipta sejarah peradaban kita, sama seperti orang Cina yang mempunyai sejarah peradaban 5,000 tahun,” katanya.
Bercakap pada pelancaran dua buku berjudul ‘Pingunai Ikonomik Bisingai De Joman Omba’ (Kegiatan ekonomi Bisingai, suku kaum Bidayuh pada masa lampau) dan ‘Oran Pingoma Ta’ (Orang Tua Kita) di sini malam tadi, Manyin berkata buku berkaitan masyarakat Bidayuh adalah berdasarkan sejarah lisan tanpa catatan bertulis.
Menurut beliau adalah penting bagi generasi masa ini masyarakat itu mengetahui sejarah identiti etnik serta cara hidup mereka pada masa lampau bagi mengelak kesilapan dilakukan semasa merancang masa depan yang cemerlang.
“Untuk berjaya di masa depan adalah penting bagi kita masyarakat Bidayuh untuk mengetahui sejarah kita, mengetahui apa yang terjadi pada masa lalu sehingga kita benar-benar tahu siapa kita, apakah kita, apakah kesalahan kita, apakah pendirian kita dan dari situ kita dapat merancang masa depan,” katanya.
Manyin, yang juga Naib Peresiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata masyarakat Bidayuh yang terlalu bersifat akomodasi, boleh menjadi satu kelemahan kepada masyarakat itu khususnya penglibatan mereka dalam politik yang boleh menjejaskan perpaduan mereka.
“Namakan saja mana-mana parti politik (di Sarawak), terdapat masyarakat Bidayuh dalam PBB, SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak), PRS (Parti Rakyat Sarawak), PSB (Parti Sarawak Bersatu), DAP, PDP (Parti Demokratik Progresif), PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan bahkan dalam PAS,” katanya.
Menurut beliau, kelemahan akan menimbulkan beberapa cabaran yang perlu ditangani oleh masyarakat itu dalam 20 tahun akan datang supaya dapat bersaing dengan masyarakat lain di negara ini.– BERNAMA