ARTIKEL

Datuk Seri Nancy Shukri

Masyarakat diminta lapor kanak-kanak miskin – Nancy

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HULU SELANGOR: Masyarakat diminta bekerjasama dengan kerajaan dengan melaporkan sekiranya terdapat kanak-kanak yang hidup di bawah garis kemiskinan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata ini kerana kerajaan menyediakan lebih 130 jenis bantuan dan dengan melaporkan perkara itu, dapat memastikan tiada kanak-kanak tercicir daripada menerima manfaat tersebut.

Nancy berkata, kerajaan juga sedang meneliti usaha menambah baik taraf hidup kanak-kanak menerusi perlindungan sosial dan perkara itu telah dibincangkan dengan Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC).

“Perlu kita ingat bahawa kanak-kanak terutama sekali ialah aset negara dan kalau mereka (sebagai contoh) tidak diberi pemakanan yang betul, ia akan menjejaskan pertumbuhan fizikal dan akan memberi kesan yang tidak baik kepada negara. 

“Inilah orang yang kita nak bimbing untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan.

Maka kita perlu menjaga kesihatan dan keperluan kanak-kanak ini,” katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama penerima bantuan dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor di sini hari ini. 

Semalam media melaporkan hampir 95 peratus kanak-kanak daripada isi rumah keluarga berpendapatan rendah (B40) di Kuala Lumpur hidup dalam kemiskinan hasil dapatan kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia bertajuk Ranjau Sepanjang Jalan.

Selain itu, Nancy berkata penilaian semula kadar bantuan sedang dikaji selain pihaknya sedang meneliti untuk meminda beberapa dasar lapuk bagi memastikan kesejahteraan rakyat.

“Ia proses yang berterusan…kita juga telah diminta supaya lihat pelbagai dasar lain antaranya dasar untuk wanita, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU).

Jadi ia perlu dilihat selanjutnya oleh agensi yang bertanggungjawab,” katanya. 

Terdahulu, pada majlis itu Nancy menyampaikan watikah pelantikan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) Hulu Selangor kepada 12 penerima selain menyampaikan surat kelulusan bantuan, kad OKU dan sumbangan kepada 10 penerima. — BERNAMA

BERITA LAIN

FAHMI KECAM TINDAKAN UGUT, ANCAM KESELAMATAN WARTAWAN

KUCHING: Kerajaan memandang serius dakwaan ahli politik menyerang dan mengugut wartawan sebuah portal berita berbahasa Tamil baru-baru ini.Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau berpendirian bahawa

BERITA TERBARU