Masyarakat harus sabar meraikan Hari Raya dan Gawai tahun ini

KUCHING: Dalam meraikan sambutan Hari Raya dan Gawai pada tahun ini, setiap individu perlu sentiasa saling beringat bahawa kita begitu bertuah kerana dapat  meraikan dua perayaan ini dalam keadaan aman dan sihat sejahtera, sepanjang Covid-19 melanda negara.

Menurut Menteri Muda Perdagangan Antarabangasa Industri Terminal dan Pembangunan Ushawan, Datuk Mohd Naroden Majais, setiap masyarakat harus bersabar dengan keadaan yang luar biasa kini kerana semua tidak dapat berkunjung berhari Raya, balik ke kampung halaman, malah tidak dibenarkan membuat rumah terbuka.

“Perkara yang penting kini kita harus terus bersabar, dan sentiasa menjaga kesihatan diri demi  kesejahteraan keluarga dan masyarakat kita.

“Kita juga  harus patuh akan setiap prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), supaya setiap pihak dapat terus berjaga jaga agar tidak dijangkiti virus Covid-19 ini,” katanya menerusi satu video ucapannya di Facebook baru-baru ini.

Beliau turut berharap semua pihak terus dihindari dari segala penyakit berbahaya ini.

Dalam kesempatan tersebut beliau yang juga Adun Gedong turut mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf zahir dan Batin dan Selamat Menyambut Hari Gawai Dayak kepada semua rakyat Sarawak.

“Selamat Hari Raya dan Selamat Hari Gawai Dayak kepada semua rakan taulan terutama sekali para pemimpin kerajaan Sarawak termasuk penduduk di kawasan saya di  Gedong,” katanya lagi.