MUKAH: Seramai 46 peserta dari Dalat dan Oya menyertai program Mendigitalkan Komuniti Akar Umbi pada 28 Mei lalu.
Pegawai Daerah Dalat Hamdan Katang berkata, program dianjurkan oleh Pustaka Negeri Sarawak dan Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM Sarawak) dengan kerjasama Pejabat Daerah Dalat.
Menurutnya, penganjuran program itu juga sejajar dengan agenda negeri mewujudkan masyarakat pintar yang disokong oleh digital, teknologi, pengetahuan dan inovasi.
“Program sebegini dapat menjadikan masyarakat di sini berilmu, berpegetahuan dalam bidang digital, sekali gus dapat menabur bakti dalam memajukan Dalat dengan baik,” katanya pada majlis penangguhan program itu.
Jelasnya, lebih banyak program sebegini diadakan di daerah itu, inisiatif digital dapat dijalankan dengan mudah dan dapat menjadikannya sebagai tempat pelancongan terkenal bagi penduduk luar.
“Saya juga mahu penyertaan belia dalam mempromosikan Dalat ke luar negara dapat direalisasikan melalui media sosial dengan adanya kekayaan produk seperti sagu serta potensi kawasan yang menarik di sekitarnya,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Wilayah Pustaka Negeri Sarawak Bahagian Sibu, Fairul Azli Banchit menggesa komuniti Dalat terutamanya pemimpin akar umbi membimbing masyarakat di bawah jagaan mereka bagi memastikan masyarakat luar bandar terutamanya Dalat dan Oya tidak ketinggalan.
“Ia juga untuk memastikan mereka dapat bergerak seiring dengan pihak lain ke arah mencapai matlamat ekonomi digital bagi Sarawak.
“Komuniti setempat harus bijak menggunakan kemudahan seperti Pusat Digital Komuniti (DCC) yang disediakan oleh kerajaan untuk diguna bagi menjalani aktiviti yang berkaitan dengan bidang digital,” ujarnya.
Program sehari itu turut menampilkan Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam, pengusaha e-dagang dan pempengaruh media sosial yang turut memperkenalkan fungsi DCC kepada masyarakat yang dapat membantu mempercepatkan proses pendigitalan dengan memberi peluang kepada mereka menggunakan fasiliti digital yang disediakan.
Program ini akan diadakan lagi di Dalat untuk Randau Komuniti Digital pada bulan hadapan. Untuk keterangan lanjut, layari AZAM Sarawak www.azam.org.my.