Trending

Mata secantik Barbie

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

DUNIA solekan semakin moden.

Apa tidaknya, jika kalian memiliki mata tidak enak untuk dipandang, jangan susah hati kerana ia boleh diubah menjadi paling cantik.

Bulu mata boleh dilentik dan dipanjang, kening boleh diukir seperti kening ratu cantik.

Saya bertemu empat mata dengan Siti Nor Cahaya Yaman atau lebih dikenali sebagai Winny, 27, wanita yang memiliki sentuhan ajaib menjadikan impian wanita yang inginkan kecantikan menjadi kenyataan.

“Tetapi ini hanya kecantikan sementara, ia tidak kekal kerana ia bukan tatu. Namun ia boleh meningkatkan keyakinan diri setiap wanita.

“Memiliki kening sempurna dan bulu mata yang menawan merupakan idaman setiap wanita sebagai pelengkap kecantikan.

Saya tunaikan impian anda,” kata Winny sebaik sahaja disapa.

Menggunakan nama perniagaan – Winny Beuty Eyelash Extension – beliau kini dapat tersenyum lebar kerana antara nama gah dan pilihan utama wanita di Sarawak untuk memiliki mata yang cantik.

Apa yang menarik mengenai Winny bukan kerana alat soleknya kerana semua wanita memiliki bakat menyolek diri sendiri walaupun akhirnya kelihatan tidak cantik.

Namun kegigihannya yang bermula dari bawah bermodalkan RM500.

“Itu wang simpanan saya yang dilabur pada 2017. Sebenarnya saya sendiri tidak menyangka berjaya sampai ke tahap ini kerana hanya berbekalkan minat, pengalaman bekerja hampir setahun di salun kecantikan di Mukah dan segulung sijil.

“Sekembalinya ke Kuching, suami mencadangkan supaya saya cuba berjinak-jinak dalam perniagaan yang sesuai sijil yang dimiliki.

“Di situlah segala-galanya bermula. Waktu itu, saya menyediakan perkhidmatan rumah ke rumah di sekitar Kuching, Samarahan dan hanya menggunakan motosikal sebagai pengangkutan utama,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Kini Winny tersenyum bangga walaupun pada musim Covid-19 sekurang-kurangnya dia mampu menjana sekitar RM4,000 sehingga RM9,000 sebulan terutama menjelang perayaan.

Menurutnya, hasil usahanya membolehkan beliau menarik ramai pelanggan tetap sehingga ada yang sanggup datang dari Lundu, Betong, Mukah, Miri malah Kuala Lumpur semata-mata mahu mendapatkan khidmat terbaiknya.

Ujar ibu kepada tiga cahaya mata itu, harga penyambungan bulu mata sekitar RM60 hingga RM150 bergantung kepada jenis dan ketebalan yang ditawarkan seperti patung Barbie, mata kucing serta susuk lashes.

Malah, sejak 2018 beliau menjadi tenaga pengajar dengan menawarkan kursus penyambungan bulu mata berserta sijil pada harga RM1,200, dengan setakat ini sudah lebih 30 orang tamat pengajian dan membuka perniagaan sendiri.

“Selepas hampir tiga tahun, pada 2020 saya memutuskan untuk belajar dan mengambil sijil teknik pembentukan alis atau bulu kening separa kekal.

“Kaedah ini semakin popular dalam kalangan wanita yang memiliki bulu kening halus, jarang dan tidak teratur kerana mampu bertahan enam bulan ke dua tahun bergantung kepada cara penjagaan.

“Ini bukan tatu, tetapi kaedah solekan menyulam bulu kening untuk membuat lukisan sambil mengisi pigmen organik berwarna ke dalam kulit yang menghasilkan gaya semula jadi dan sempurna,” jelasnya.

Katanya, perniagaan sulam keningnya mendapat sambutan menggalakkan dan semakin mendapat perhatian kerana ditawarkan pada harga mampu milik iaitu RM150 hingga RM299 bergantung pakej.

“Terdapat dua pilihan dua warna iaitu coklat gelap dan kelabu coklat gelap, namun jangan risau kerana apabila pudar ia tidak meninggalkan sebarang kesan dan bulu kening kembali seperti asal.

“Untuk memastikan warnanya kekal lama, pelanggan tidak digalakkan kerap mencuci muka dan tempoh ketahanan bergantung kepada jenis kulit sama ada berminyak atau kering,” katanya.

Berkongsi tips kejayaan, Winny berkata, beliau sentiasa fokus dalam hala tuju perniagaan, sentiasa mengutamakan hubungan baik dengan pelanggan dan memastikan perkhidmatan berkualiti diberikan.

“Selain menggunakan media sosial Facebook, Instagram dan WhatsApp untuk mempromosikan perniagaan, saya juga sentiasa memberikan promosi potongan harga.

“Saya juga memberikan kad kesetiaan iaitu setiap kali pelanggan datang, kad mereka akan dicop dan selepas 10 kali akan mendapat perkhidmatan penyambungan bulu mata secara percuma.

“Pada musim perayaan, pelanggan yang membayar RM100 ke atas akan mendapat hadiah percuma,” ujarnya sambil menambah bercadang untuk membuka salun rambut selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Bagi yang berminat, anda boleh pergi ke salun Winny di MJC Batu Kawa atau melayari Facebook Winny Beuty Eyelash Extension untuk melihat hasil kerjanya yang sangat berkualiti dan kemas.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru