ARTIKEL

MATANG ANGLERS berambih ngail di PONTOON 1 THE CAMPERS PARADE

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Penulis dan sahabat pemancing dari Matang Anglers baru-baru ini ke Pontoon 1 Campers Paradise di Sungai Rayu, berdekatan Kampung Jaya Bakti, Rambungan.

Perjalanan memakan masa 43 minit sejauh 33km dari bandar raya Kuching menggunakan Jalan Akses FAC ke Kampung Jaya Bakti, Rambungan. 

Setelah hampir lima tahun penulis tidak terlibat dengan aktiviti memancing, baik di laut mahupun di sungai sekitar Kuching akibat kekangan masa dan masalah kesihatan, akhirnya penulis tewas dengan desakan sahabat yang meminati hobi sama… 

MEMANCING

Pontoon 1 Campers Paradise jadi pilihan dan merupakan rumah rakit yang terletak di seberang Sungai Rayu, Rambungan dan menghadap kawasan rekreasi berbayar — The Campers Paradise.

Pontoon 1 tersebut juga merupakan salah satu pakej yang disediakan oleh pihak The Campers Paradise untuk kaki pancing yang tidak dapat ke laut atau ke sungai.

Kadar sewa RM200 untuk tempoh 24 jam dari 9 pagi sehingga 9 pagi keesokan harinya.

Pelbagai kemudahan disediakan untuk ke rumah rakit tersebut seperti pengangkutan ulang alik dengan menaiki bot dari jeti The Campers Paradise yang hanya memakan masa lima minit.

KELENGKAPAN DI PONTOON 1 CAMPERS PARADISE

Tempat memasak, tempat memanggang, meja makan turut disediakan Pemancing cuma perlu membawa gas memasak tin kecil, pinggan, gelas, sudu dan garpu.

Bilik tidur dan bilik solat turut disediakan untuk kemudahan pemancing serta dilengkapi lampu dan kipas solar.

Paling penting ialah kemudahan tandas turut tersedia di rumah rakit tersebut dengan air tawar di dalam botol.

Memang agak kekok setelah hampir lima tahun tidak menyertai mana-mana aktiviti memancing.

Namun, setelah difikirkan memang agak lama tidak berasa suasana memancing bersama-sama sahabat. Penulis bersama-sama anak bujang bersetuju menerima pelawaan daripada sahabat pemancing Matang Anglers.

Penulis terpaksa “membongkar” semula segala peralatan memancing yang lama disimpan. Ada yang berdebu dan berhabuk, namun masih dapat digunakan kerana disimpan dengan cermat.

Kami seramai sembilan orang termasuk sahabat dari Matang Anglers – Jai Saibi, Awangku Fadli, Azrol, Rezal Dawi, Syed Adi, Hazali Almizan, Hasnol dan Nur Haziq tiba ke lokasi agak lewat atas sebab yang tidak dapat dielakkan, namun bahang keseronokan untuk memancing sambil bersantai makin terasa.

Untuk aktiviti memancing tersebut, kami menempah umpan udang hidup daripada Cikgu Othman dari Kampung Demak Laut. 

UMPAN UDANG HIDUP

Sebanyak 200 ekor umpan hidup ditempah untuk kegunaan sembilan pemancing.

Umpan udang hasil menebar jala oleh Jai Saibi turut dibawa untuk tambahan.

Sentapan demi sentapan daripada pemangsa sungai bermula sejak umpan dilabuhkan.

Ada yang berhasil didaratkan, malah tidak kurang pula yang hanya memakan umpan, tapi tidak sangkut di mata kail. 

Anak penulis yang baharu pertama kali mengikuti aktiviti memancing turut berjaya mendaratkan ikan, walaupun tidak berapa besar, namun jelas terbayang kegembiraan diwajahnya.

Suasana di Pontoon 1 The Campers Paradise menjadi meriah dengan hasil tangkapan yang berjaya didaratkan, ditambah dengan gelagat sahabat pemancing yang menyebabkan kami tidak kering gusi.

Walaupun hasil memancing agak kurang memuaskan, namun bukan hasil tangkapan yang jadi ukuran. 

Kunjungan penulis dan sahabat pemancing dari Matang Anglers ke Pontoon 1 The Campers lebih kepada aktiviti santai, makan dan memancing.

Namun, momen tersebut tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.

SUASANA TENANG

Suasana sewaktu memancing bersama-sama sahabat memang tidak dapat digambarkan sepenuhnya melalui penulisan.  

Hanya dapat diungkapkan suasananya tenang, aman dan damai… seperti sebahagian yang hilang dalam diri penulis menjelma kembali ketika duduk menikmati keindahan malam, mendengar bunyi percikan air anak ikan sambil memegang joran. 

Terima kasih sahabat kerana mengembalikan rasa yang sudah lama hilang dalam diri penulis.

Kepada kaki pancing yang tidak dapat ke laut tetapi ingin memancing sambil bersantai, boleh singgah ke Pontoon 1 The Campers Paradise yang terletak di Kampung Jaya Bakti.

BERITA LAIN

Jaga aib diri, orang lain

MENJAGA aib sesama manusia menjadi tanggungjawab yang dianjurkan dalam Islam. Pentingnya perbuatan menahan diri daripada mengumpat dan mencari kesalahan orang lain. Allah SWT juga memberikan

Bentuk peribadi pelajar

BARU-BARU INI, Mukhayyam Dakhili Tunas Kadet Remaja Sekolah Musleh (TKRSM) bagi murid Tahun 4 berlangsung dengan jayanya di Sekolah Rendah Islam Al-Amin Kota Samarahan. Program

Wanita 66 tahun bersaing Ratu Cantik

“Usia bukan penghalang, saya sentiasa ingin mencuba untuk menyertai dunia ratu cantik kerana ia sesuatu yang sangat inklusif. Saya tidak pernah lupa tentang warisan budaya

Buang stigma masyarakat

“MENERUSI program ini, ia boleh memberi kepercayaan kepada ibu bapa. “Jadi, kepada mereka yang mempunyai anak autisme, jangan risau, sentiasa ada caranya untuk menangani mereka,”

BERITA TERBARU

Hentikan sikap buang sampah dalam sungai

KUCHING: Masyarakat setempat di sekitar Sungai Sut digesa memantau dan menghentikan aktiviti pembuangan sampah yang mampu mencemarkan sungai dan alam sekitar. ADUN Pelagus Wilson Nyabong