Mati dalam bilik motel

KUCHING: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di dalam bilik sebuah motel di Jalan Song Thien Cheok di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian oleh orang awam yang menghubungi Pusat Kawalan Daerah Kuching sekitar 11 pagi.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati seorang lelaki terbaring di lantai bilik dan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Umum Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya mangsa dikenali sebagai Francis Sigai berdasarkan plastik ubat yang ditemui di tempat kejadian.

Beliau menambah mangsa dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung.

Katanya kes masih dalam siasatan dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat seorang lelaki ditemui terbaring di dalam bilik sebuah motel di Jalan Song Thien Cheok, Kuching hari ini.

Suara Sarawak