Mati dalam kereta

KUCHING: Seorang lelaki meninggal dunia di dalam sebuah kereta Perodua Viva di tempat letak kenderaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini.

Menurut Pegawai Bomba Kanan II Chaplin Wan, mangsa yang berusia 48 tahun ditemui tidak sedarkan diri oleh pegawai polis bantuan LTAK ketika membuat rondaan di kawasan letak kenderaan tersebut sekitar jam 1.20 pagi tadi.

“Lelaki berkenaan dijumpai dalam keadaan terbaring di dalam kenderaan tersebut.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pakar perubatan dan dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Chaplin menambah semasa pemeriksaan, mangsa ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap iaitu baju berwarna merah dan seluar panjang berwarna hitam.

Paramedik dari Hospital Umum Sarawak tiba di lokasi kejadian, sebelum mengesahkan mangsa meninggal dunia.