MATU: Projek Matu Service Centre yang kini mencapai kemajuan fizikal 97 peratus dijangka mula beroperasi pada Oktober ini, termasuk kemudahan medan selera yang siap sepenuhnya.
Perkembangan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menyediakan pusat perniagaan moden yang diyakini mampu merancakkan aktiviti ekonomi setempat serta membuka lebih banyak peluang keusahawanan kepada masyarakat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap ADUN Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, perkembangan tersebut diperoleh hasil lawatan pemantauan beliau ke Projek Matu Service Centre dan Igan Service Centre bagi meninjau status pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan, semalam.

“Lawatan ini bertujuan memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut perancangan dan jadual yang ditetapkan.
“Di Matu, kerja-kerja akhir bagi melengkapkan pelbagai kemudahan sedang giat dilaksanakan, manakala Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD) akan mengadakan sesi temuduga dalam masa terdekat bagi memilih peniaga yang mengemukakan permohonan untuk beroperasi di medan selera tersebut,” katanya.
Sementara itu, Juanda memberitahu, kerja-kerja penyediaan tanah bagi Projek Igan Service Centre siap sepenuhnya dan kini memasuki fasa pemantauan proses mendapan tanah (surcharge) bagi menilai tahap mendapan tanah sebelum pembinaan diteruskan.
Jelasnya, proses ini penting bagi memastikan struktur yang bakal dibina berada dalam keadaan stabil, selamat dan memenuhi piawaian kualiti yang ditetapkan.
Sehubungan itu, katanya, kedua-dua projek tersebut merupakan antara inisiatif Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan luar bandar menerusi penyediaan pusat perniagaan yang lebih moden, tersusun dan kondusif kepada usahawan tempatan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, usaha tersebut selaras dengan agenda pembangunan inklusif Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak yang memberi penekanan kepada keseimbangan pembangunan di antara bandar dengan luar bandar.




