Maut bertembung lori

KOTA SAMARAHAN: Dua lelaki maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori, dalam kemalangan di Jalan Kota Samarahan – Sadong Jaya sekitar jam 8 malam semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata semasa kejadian, lori terbabit dalam perjalanan dari arah Sadong Jaya menuju ke Kota Samarahan.

Katanya semasa melalui selekoh, motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan dan bertembung dengan lori berkenaan.

“Seorang daripada mangsa terperosok di bawah lori,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Alexson, semasa kejadian cuaca dalam keadaan baik.

Katanya penunggang motosikal berusia 22 tahun dari Kampung Jemukan Tengah, Sadong Jaya meninggal dunia di Klinik Asajaya.

Manakala pembonceng yang berusia 34 tahun dari Kampung Jemukan, Sadong Jaya meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat kecederaan parah yang dialami.

Mayat kedua-dua mangsa turut dibawah ke Bahagian Forensik, HUS untuk tindakan lanjut.

Katanya kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Motosikal mangsa terperosok di bawah lori dalam kemalangan di Jalan Kota Samarahan – Sadong Jaya semalam