Seorang pengawal keselamatan maut dipercayai akibat dipijak seekor gajah di kawasan ladang berhampiran Tanah Tinggi Lojing di Gua Musang, semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 4 petang ketika mangsa yang berusia 42 tahun itu bersama-sama rakannya dalam perjalanan ke sungai untuk memancing ikan di sebuah kawasan ladang kelapa sawit di lokasi terbabit.
“Dalam perjalanan, mangsa dan rakannya yang menaiki motosikal terserempak dengan dua ekor gajah, mereka yang terkejut terjatuh daripada motosikal.
“Setelah dua ekor gajah tersebut meninggalkan tempat kejadian, rakan mangsa yang berjaya melarikan diri kembali semula ke lokasi itu sebelum menemukan mangsa di dalam semak dalam keadaan kesakitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tiada unsur jenayah ke atas mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.