KUCHING: Perempuan maut selepas motosikal yang dinaikinya bersama rakan diseret oleh sebuah lori yang melanggar lampu isyarat merah di Jalan Tun Razak / Jalan Dato Bandar di sini, pagi tadi.
Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata kejadian dilaporkan kira-kira jam 10.45 pagi, ketika lori terbabit menuju ke Syarikat Shin Yang, Jalan Pending untuk menghantar muatan batu seberat lebih kurang 34 tan.
“Semasa sampai di lampu isyarat Jalan Tun Razak / Jalan Dato Bandar, pemandu lori itu telah melanggar tepi sebelah kiri motosikal yang dinaiki mangsa bersama rakannya, yang datang dari arah Pending dan sedang masuk ke simpang Jalan Dato Bandar.
“Pelanggaran menyebabkan motosikal bersama penunggang dan pembonceng (mangsa) terseret beberapa meter ke hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Alexson berkata mangsa yang berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Kecemasan, Hospital Umum Sarawak (HUS) pada jam 12.30 hari akibat kecederaan di kepala.
Manakala, rakan lelaki mangsa berusia 23 tahun yang menunggang motosikal terbabit hanya mengalami luka di kaki kanan.
Sementara, pemandu lori terbabit iaitu seorang lelaki berusia 24 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh pemandu lori yang tidak mematuhi lampu isyarat merah,” katanya.
Alexson berkata kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.