Maut ditimpa kayu balak

SARIKEI: Seorang pemandu kren maut ditimpa kayu ketika memunggah balak di Kilang Kayu Selalang petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Superitendan Awang Arfian Awang Bujang berkata, mangsa Akau Pilang, 46, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu katanya, mangsa sedang bertugas memunggah kayu balak berkenaan.

“Bagaimanapun, salah satu daripada kayu terbabit terlepas daripada ikatan sebelum menjunam ke arah mangsa.

“Setakat ini, tidak ada sebarang unsur jenayah namun kita tidak menolak kemungkinan tali ikatan balak terbabit terputus,”katanya.

Beliau berkata, laporan berhubung kejadian dibuat oleh keluarga mangsa di Balai Polis Jakar.

Mayat mangsa katanya, dibawa ke Hospital Sarikei untuk dibedah siasat.

“Kes ini dikategorikan sebagai kemalangan di tempat kerja,” jelasnya.

Keadaan di tempat kejadian yang mengakibatkan mangsa maut.

Suara Sarawak