Maut tertembak diri sendiri

KANOWIT: Seorang lelaki berusia 30 tahun mati ketika memburu bersama-sama tiga rakannya di kawasan Hutan Latong dekat Machan di sini, malam tadi (Sabtu).

Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Tega Bilong berkata, dipercayai bahawa mangsa yang dikenali sebagai Patrick Nyanau secara tidak sengaja menembak dirinya sendiri dengan senapang dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 malam.

“Terdahulu, mangsa dan rakannya telah pergi memburu ke hutan.

“Ketika mereka sampai di lokasi, mangsa didakwa membawa senapang milik datuk salah seorang rakannya.

“Mangsa berjalan di depan dan diikuti oleh tiga rakannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini (Ahad).

Menurut Tega, ketiga-tiga rakan mangsa terdengar bunyi tembakan datang dari arah mangsa yang berada lebih kurang 10 meter di hadapan rakan-rakannya.

“Mereka berlari ke arah mangsa dan menemuinya dalam keadaan berlumuran darah sebelum mereka mengejarkannya ke Hospital Kanowit dengan sebuah kereta.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 11.15 malam tadi ketika sedang menerima rawatan di hospital,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke rumah mayat Hospital Sibu.

“Kes diklafikasikan sebagai mati mengejut dan polis masih giat menjalankan siasatan,” ujar Tega.