Mayat ditemui di Pantai Pandan

KUCHING: Mayat sorang nelayan yang hilang di perairan Asajaya ditemui di Pantai Pandan, Lundu
semalam.

Mayat Hamzah Dipi, 49, ditemui kira-kira 80 batu nautika daripada tempat dia dilaporkan hilang oleh penduduk kampung sekitar jam 5.15 petang.

Menurut jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak, mayat telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Ahli keluarga nelayan yang hilang di perairan Asajaya telah dipanggil ke unit Forensik Hospital Umum Sarawak bagi membuat pengecaman.

“Ahli keluarga mangsa mengesahkan mayat yang ditemui tersebut adalah mangsa yang dilaporkan hilang berdasarkan pakaian yang dipakai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hamzah dilaporkan hilang di perairan Asajaya pada 5 April lalu, apabila hanya botnya ditemui oleh nelayan lain pada jarak tiga batu nautika dari pantai.

Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) telah dilancarkan namun masih gagal menemui mangsa.

Setelah enam hari pencarian dijalankan, operasi kemudian ditamatkan kerana tiada tanda-tanda atau petunjuk mangsa akan ditemui.

Suara Sarawak